Hilang mata kiri ditimpa durian

Syed Mohd Yazid menunjukkan matanya yang kini tidak lagi mampu melihat akibat ditimpa durian.
Syed Mohd Yazid menunjukkan matanya yang kini tidak lagi mampu melihat akibat ditimpa durian.
A
A
A

SEGAMAT - Setiap kali tiba musim durian, seorang bapa dari Kampung Bendahara Lubuk Batu di sini, mengakui tidak dapat melupakan peristiwa hitam yang menimpa dirinya suatu ketika dahulu.

Hilang mata sebelah kiri akibat ditimpa durian menjadi pengalaman ngeri bagi beliau apabila tragedi itu nyaris meragut nyawanya.

Dihempap durian ketika dongak kepala

Berkongsi kisah, Syed Mohd Yazid Syed Sulaiman, 56, berkata, kejadian pada Jun 2015 itu berlaku pantas sewaktu dia meninjau pokok durian di kebun milik keluarganya.

“Saya masih ingat masa tu Ramadan sekitar jam 11 pagi saya ke kebun milik keluarga untuk lihat pokok durian yang mula membuahkan hasil.

“Ketika itu saya sedang dongak dan dapati banyak buah belum gugur. Bagaimanapun, secara kebetulan, salah satu buah durian gugur jatuh menimpa muka saya,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, buah tersebut mengenai mata kiri menyebabkan kecederaan serius di bahagian saraf berkenaan.

“Saya rebah dan terus tidak sedarkan diri 15 minit. Sebaik sedar, saya sempat lihat jam di tangan.

“Masa tu saya masih tak perasan mata sebelah kiri dah buta. Cuma saya lihat pakaian berlumuran darah dan muka sebelah kiri pula mengalami luka yang agak parah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lokasi kejadian Syed Mohd Yazid yang ditimpa durian dari salah sebatang pokok di kebun.
Lokasi kejadian Syed Mohd Yazid yang ditimpa durian dari salah sebatang pokok di kebun.

Disahkan buta oleh hospital

Dia yang bertugas di Pegawai Unit Pentadbir, Pejabat Kadi Segamat berkata, walaupun masih mamai, dia bangun dan berjalan pulang ke rumah 1km.

“Sewaktu pulang pun saya anggap luka biasa kerana dihempap durian 2.5kg, tapi, tiba saja di rumah, keluarga terkejut dan bergegas bawa saya ke hospital.

“Saya kemudian dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan dirawat selama 10 hari,” katanya.

Syed Mohd Yazid berkata, sebaik menerima rawatan di hospital, barulah dia sedar mata kiri cedera teruk dan saraf rosak.

“Doktor memaklumkan mata sebelah saya buta. Meskipun reda dengan ketentuan Ilahi, namun ia pengajaran bermakna agar saya tidak cuai keselamatan.

“Kini saya akur apabila menjadi pemegang kad orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Hidup berubah

Bapa lima anak ini berkata, kejadian itu turut memberi kesan apabila dia tidak lagi mampu memandu kereta seperti biasa.

“Terlalu banyak berubah termasuk kerja. Malah beberapa rutin seharian yang saya boleh lakukan dahulu turut diambil alih isteri.

“Sekarang pun kalau nak bergerak ke sana sini, saya boleh tunggang motosikal sahaja itu pun dalam kawasan berdekatan. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana insiden ini tidak memberi kesan sampingan besar.

“Saya masih boleh bekerja seperti biasa, cuma terbatas pergerakan tidak seperti dahulu. Alhamdulillah, ALLAH masih panjangkan umur saya,” katanya.

Lebih berhati-hati

Kini, dia lebih berhati-hati dan menasihatkan orang ramai khususnya pemilik kebun durian agar memakai topi bersesuaian bagi melindungi kecederaan di kepala dan muka.

“Selain itu, jangan terlalu ghairah berada di kebun durian hingga membawa anak kecil dan mengabaikan keselamatan. Harus sedar kawasan ini berisiko dan malang tidak berbau.

“Jaga keselamatan anak kecil selain pergi ke kebun pada waktu siang kerana malam kita tak jelas keadaan bakal berlaku. Selain risiko buah tiba-tiba gugur, kebun juga berpotensi dengan kehadiran ular berbisa spesis katam tebu,” nasihatnya.