AS disaran henti sementara guna vaksin keluaran Johnson & Johnson

Dua agensi kesihatan awam Amerika Syarikat menasihatkan supaya penggunaan vaksin Covid-19 keluaran syarikat Johnson & Johnson dihentikan. - Foto AFP
Dua agensi kesihatan awam Amerika Syarikat menasihatkan supaya penggunaan vaksin Covid-19 keluaran syarikat Johnson & Johnson dihentikan. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Dua agensi kesihatan awam Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengesyorkan supaya suntikan vaksin Covid-19 keluaran syarikat Johnson & Johnson dihentikan buat sementara waktu.

Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan serta Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan AS membuat cadangan tersebut selepas enam wanita berumur 18 hingga 48 tahun yang memperoleh vaksin tersebut didapati mengalami pembekuan darah di bahagian otak bersama platelet darah yang rendah.

Seorang wanita berusia 45 tahun sudah meninggal dunia pada pertengahan bulan lalu dan seorang individu berada dalam keadaan kritikal setelah mereka menerima suntikan itu.

Menurut seorang saintis Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan AS, Peter Marks seperti dilaporkan AFP, masalah tersebut kemungkinan berlaku disebabkan oleh tindak balas imun terhadap vaksin itu yang jarang berlaku dalam kalangan penerima suntikan berkenaan.

Dalam pada itu, syarikat farmaseutikal tersebut menyatakan pihaknya telah menangguhkan penghantaran vaksin Johnson & Johnson ke Eropah.

Kesatuan Eropah (EU) sebelum ini menandatangani satu perjanjian dengan syarikat berkenaan untuk mendapatkan 200 juta suntikan vaksin keluarannya itu dengan tambahan pilihan sebanyak 200 juta lagi suntikan tersebut.

Penerima vaskin tersebut hanya perlu disuntik sekali sahaja dan tidak dua kali seperti vaksin-vaksin lain.

Pihak berkuasa AS kini melakukan siasatan berhubung penggunaan vaksin Johnson & Johnson itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: