Bazar Ramadan: Pulau Pinang akan buat keputusan jika kes melonjak

Kon Yeow (kanan) menunjukkan juadah yang dijual di Bazar Ramadan Lebuh Queen ketika membuat lawatan pada petang Selasa.
Kon Yeow (kanan) menunjukkan juadah yang dijual di Bazar Ramadan Lebuh Queen ketika membuat lawatan pada petang Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan teragak-agak membuat keputusan sekiranya berlaku lonjakan kes jangkitan Covid-19 dari bazar Ramadan yang beroperasi di sekitar negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihak berkuasa khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memantau keadaan setiap hari di seluruh negara.

Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan terus memantau keadaan bazar-bazar Ramadan bagi memastikan semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Memandangkan lampu hijau (kebenaran) diberikan untuk pembukaan operasi bazar Ramadan, pihak berkuasa akan sentiasa memantau keadaan di semua bazar. Saya pasti jika situasi kes tidak boleh dikawal, satu keputusan perlu dibuat.

"Di Pulau Pinang, kita akan pantau setiap hari namun jika terdapat peningkatan kes mendadak selama dua tiga hari ini, ia akan memaksa satu keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan 2021 Kali Ke-17 Anjuran Liga Muslim Pulau Pinang di Lebuh Queen pada petang Selasa.

Kon Yeow mengesahkan keadaan jangkitan pandemik Covid-19 di Pulau Pinang dilaporkan terkawal selepas purata harian kes hanya mencatatkan 120 hingga 150 kes.

Ia melibatkan 12 kluster aktif yang mana, 10 adalah dari perindustrian dan satu masing-masing dari depot tahanan dan pendidikan.

Sementara itu, tinjauan di beberapa bazar Ramadan sekitar negeri ini mendapati, SOP yang diperlukan antaranya imbasan aplikasi MySejahtera, buku log untuk menulis butiran pengunjung (secara manual) serta pemeriksaan suhu badan telah dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, sekurang-kurangnya empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan dalam satu masa untuk mengawal orang ramai dengan kira-kira 50 orang dibenarkan masuk ke bazar dalam satu masa.

Bagaimanapun, pemerhatian mendapati, masih ramai dalam kalangan pengunjung dan peniaga yang tidak memakai pelitup muka dengan betul selain tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berurusan di bazar Ramadan.

Dalam pada itu, Pulau Pinang membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk solat tarawih dan moreh sepanjang Ramadan ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Zakuan Zakaria berkata, semua aktiviti itu perlu dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan dan garis panduan yang dikeluarkan.

Menurutnya, semua pihak perlu mengikut garis panduan yang dikeluarkan untuk pelaksanaan aktiviti keagamaan pada Ramadan yang berkuatkuasa mulai 12 April.

Solat terawih dibenarkan iaitu sebanyak 20 rakaat, namun untuk memastikan tempoh berkumpul tidak terlalu lama, pihak masjid atau surau boleh melaksanakannya sebanyak lapan rakaat.

Bagaimanapun, tazkirah semasa solat sunat tarawih adalah tidak dibenarkan dan imam serta bilal perlu meringkaskan bacaan zikir, selawat serta doa.

Program qiamullail di masjid dan surau turut dibenarkan namun bermalam di masjid adalah dilarang sama sekali.

Kariah masjid dan surau juga boleh mengadakan jamuan berbuka puasa, moreh dan sahur di kawasan berkenaan dengan mematuhi penjarakan fizikal namun hidangan makan bertalam tidak dibenarkan.