X

Kindly register in order to view this article
!

Kelab permotoran kumpul dana bina kompleks tahfiz

Wakil kelab BMW E.J Enryzan Jitim menyerahkan replika cek bernilai RM60,000 kepada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Tahfiz Kuala Pilah, Ustaz Abd Karim Abd Razak.
A
A

KUALA PILAH - Kelab BMW Seremban dan Big Family BMW menerusi Fun Rider2Unite menyampaikan sumbangan berjumlah RM60,000 bagi meneruskan pembinaan Kompleks Tahfiz Al Halimah Kuala Pelangai Mukim Hulu Muar di sini.

Pengarah MW-CSR Tanah Beradat 2021, Azhar Paat berkata, sumbangan oleh ahli kelab permotoran itu dapat merealisasikan pembinaan kompleks tahfiz berkenaan.

"Pembinaan bagi menyiapkan Kompleks Tahfiz Al Halimah ini menelan belanja sebanyak RM16 juta dan kutipan segera dilancarkan selepas perbincangan bersama ahli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Sumbangan Dana (CSR Millenium Welt MW Community Tanah Beradat) bagi pembinaan Kompleks Tahfiz Al Halimah Kuala Pelangai Mukim Hulu Muar di sini pada Selasa.

Katanya, sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada Projek Sumbangan Komuniti kelab terbabit.

"Biarpun sumbangan ini tidak menampung pembinaan keseluruhan kos pembinaan namun ia menjadi satu pencetus awal untuk kelab permotoran lain untuk bersama membantu menyiapkan kompleks tahfiz ini.

"Pada masa sama ia merupakan satu aktiviti kebajikan kami. Sebagai sebuah kelab permotoran kami bukan setakat fokus terhadap aktiviti melibatkan sukan permotoran semata-mata namun turut melibatkan pelbagai aktiviti kebajikan," katanya.

Kompleks Tahfiz Al Halimah Kuala Pelangai bakal dibina di atas tapak Lot 3685 Kuala Pelangai, Mukim Ulu Muar, Kuala Pilah.

Antara kemudahan yang disediakan ialah sebuah blok sekolah, sebuah blok membabitkan setingkat bilik darjah sebuah blok membabitkan dua tingkat koperasi sekolah, sebuah blok untuk guru serta kemudahan lain seperti dewan, rumah sampah, lot parkir dan dataran.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam 05030010110918 atas nama Pertubuhan Kebajikan Sahabat Tahfiz Kuala Pilah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!