​PH bergerak bawah satu payung

189161
189161
A
A
A

MELAKA - Semua parti komponen PH Melaka akan bergerak di bawah satu payung bagi membantu kempen di PRK DUN Semenyih.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perbincangan mengenai perkara tersebut telah dilakukan bersama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dan semua parti komponen akan bergerak sebagai satu pasukan.

“Setiap parti komponen akan menghantar antara 250 hingga 300 orang mengikut peruntukan yang ditetapkan,” katanya selepas Program Gotong Royong Perdana di Taman Paya Dalam, Ayer Molek, di sini, semalam.

Beliau berkata, PRK DUN Semenyih tidak boleh dipandang rendah kerana segalanya mungkin berlaku.

Bagaimanapun, katanya, kajian dilakukan menunjukkan peluang PH menang agak cerah, namun kerajaan perlu menyelesaikan beberapa isu khsususnya kos sara hidup.

“Isu yang akan dimainkan di Semenyih adalah isu nasional, justeru PH cenderung memberikan tumpuan terhadap isu negeri.

“Dalam konteks ini sudah pasti PKR akan memainkan peranan penting kerana Menteri Besar Selangor dari PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, beliau mengingatkan kepada pimpinan tertinggi semua parti komponen PH supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan ketiadaan muafakat di dalam gabungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di Johor, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yakin kerusi DUN Semenyih milik PH meskipun pertandingan menyaksikan saingan sengit empat penjuru.

“Saya berada di Semenyih sebelum ke sini. Saya lihat sokongan kepada PH tinggi kerana faktor Selangor diperintah PH selama dua penggal,” katanya.