KRK catat kutipan dana rakyat RM23 juta

Mohd Sabri
Mohd Sabri
A
A
A

KOTA BHARU - Koperasi Rakyat Kelantan (KRK) Berhad terus mengukuhkan kedudukan dengan mencatatkan kutipan dana rakyat terkumpul berjumlah RM23 juta bermula tempoh penubuhan pada Januari 2011 sehingga 31 Disember 2020.

Pengerusi KRK Berhad, Mohd Sabri Abdullah berkata, keyakinan rakyat menyumbang terhasil menerusi penglibatan koperasi dalam industri kewangan Islam (Ar-Rahn) melalui kolaborasi dengan syarikat berkait kerajaan (GLC) negeri, Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

“Kolaborasi operasi Ar-Rahn membabitkan lima cawangan iaitu di Machang, Rantau Panjang, Wakaf Bharu, Tumpat, Kok Lanas dan Jeli manakala satu Ar-Rahn milik penuh KRK di Losong, Terengganu.

“10 tahun usaha dilakukan memberi pulangan yang amat memberangsangkan kepada ahli sehingga KRK mampu memberikan dividen sehingga 10 peratus setiap tahun,” katanya pada Mesyuarat Tahunan KRK Berhad kali ke 9 / 2020 di Pengkalan Chepa, di sini pada Sabtu.

Mesyuarat yang berlangsung di Medan At-Thaqafi, Kolej Teknologi Darul Naim itu dihadiri 700 ahli dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah SKM Malaysia Negeri Kelantan, Shihabudin Mohd Yazid.

Hanya 300 hadirin yang dibenarkan berada di dalam dewan berserta jarak tempat duduk semeter antara satu sama lain, berpelitup muka dan melakukan saringan suhu di pintu masuk.

Kehadiran 300 ahli KRK Berhad pada Mesyuarat Tahunan KRK Berhad kali ke 9 / 2020 di Pengkalan Chepa Kota Bharu pada Sabtu di samping pematuhan SOP Covid-19.
Kehadiran 300 ahli KRK Berhad pada Mesyuarat Tahunan KRK Berhad kali ke 9 / 2020 di Pengkalan Chepa Kota Bharu pada Sabtu di samping pematuhan SOP Covid-19.

Mohd Sabri berkata, rakyat boleh berbangga dengan penglibatan perniagaan Ar-Rahn KRK bersama kerajaan melalui PKB yang mikro kredit patuh syariah dan berkait rapat dengan majoriti rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“KRK berupaya mengumpul dana dalam skala besar dan moto ‘daripada rakyat, kepada rakyat’ terlaksana dalam tempoh lapan tahun beroperasi.

“KRK berharap kerajaan melalui anak syarikat PKB dapat menilai keupayaan koperasi khususnya KRK dalam menjana dana rakyat dan bukan lagi melalui institusi kewangan atau instrumen lain bagi pembiayaan operasinya,” katanya.

Beliau berkata, KRK yakin kemampuan rakyat menjana modal lebih besar sehingga RM100 juta ke RM150 juta bagi menjayakan kolaborasi sepenuhnya antara rakyat melalui KRK dan PKB.

“KRK akan meneruskan pembukaan cawangan Ar-Rahn milik penuh secara berhemah selain melebarkan sayap perniagaan menerusi penubuhan pusat hemodialisis di Kota Bharu.

“Usaha memberi pulangan lumayan seperti pada akhir Disember 2020, sejumlah RM 2.16 juta dividen dan keuntungan diberikan kepada ahli manakala sejak sembilan tahun lalu, dividen dan keuntungan sudah melebihi RM 5 juta yang diberikan pada kadar 7.5 sehingga 10 peratus,” katanya.