X

Kindly register in order to view this article
!

Umat Islam mula tunaikan ibadat umrah

Sejumlah umat Islam bersolat Tarawih di depan Kaabah di Masjidil Haram, Makkah pada Selasa lalu. - Foto AFP
A
A

MAKKAH - Jemaah umrah yang sudah diimunisasi bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan pandemik Covid-19 pada Selasa mula mengerjakan ibadat sunah itu pada hari pertama umat Islam berpuasa di Makkah, Arab Saudi.

Menurut AFP, kumpulan jemaah itu memakai pelitup muka memasuki Masjidil Haram mengikut kumpulan masing-masing dan mengelilingi Kaabah dengan mengekalkan jarak antara satu sama lain.

Hanya jemaah umrah yang sudah diimunisasi diberikan permit untuk mengerjakan ibadat tersebut dan menghadiri solat di Masjidil Haram semasa bulan Ramadan, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum ini.

Menurut kementerian tersebut, terdapat tiga kategori jemaah umrah yang dianggap sudah diimunisasi oleh pihak berkuasa negara itu.

Kategori pertama ialah jemaah itu telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan kategori kedua ialah mereka yang sudah menerima suntikan satu dos vaksin sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mengerjakan umrah.

Dalam pada itu, kategori ketiga pula terdiri daripada jemaah umrah yang sudah pulih daripada Covid-19.

Dasar itu menyebabkan jumlah jemaah umrah di Masjidil Haram meningkat kepada 50,000 setiap hari pada bulan Ramadan.

Menurut media kerajaan, ia juga membolehkan 100,000 umat Islam bersolat di masjid tersebut.

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada dasar tersebut akan diteruskan semasa musim haji tahun ini.

Menurut AFP, pada Julai tahun lalu, kerajaan negara itu mengurangkan bilangan jemaah haji hanya kepada 10,000 umat Islam yang tinggal di Arab Saudi sahaja.

Pada tahun 2019, sebanyak 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan ibadat haji di negara tersebut.

Arab Saudi telah mencatatkan 6,700 kematian dan lebih 400,000 kes jangkitan pandemik Covid-19 terdapat di negara berkenaan. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi tetapkan garis panduan sempena Ramadan

ARTIKEL BERKAITAN: Denda lebih RM11,000 jika tiada permit umrah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!