Bulan Ramadan dulu-dulu

Gambar hiasan. - Foto ikimfm.my
Gambar hiasan. - Foto ikimfm.my
A
A
A

DAH puasa?

Saya mula berpuasa penuh sejak berumur empat tahun.

Bukan sahaja penuh sehari, tetapi juga cukup sebulan.

Tak percaya? Baguslah. Itu tandanya anda seorang yang tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda. Dalam era dunia tanpa sempadan ini kita dikelilingi oleh seribu satu bentuk propaganda. Oleh itu beruntunglah sesiapa yang tidak termasuk dalam jeratnya.

Sebetulnya saya tidak ingat bila saya mula berpuasa penuh. Mungkin ketika Darjah Satu atau Darjah Dua. Itu pun taklah cukup sebulan. Ada tebuk-tebuk dan bahagian yang ditebuk itu lebih banyak daripada yang tak ditebuk.

Berpuasa tak penuh? Mungkin sejak berusia lima atau enam tahun. Masih segar dalam ingatan bagaimana saya termamai-mamai ketika emak kejutkan untuk bersahur kali yang pertama. Saya yang suruh pada sebelah malamnya. Beria-ia. Tetapi pada sahur yang pertama itu saya sekadar bangun untuk menyambung tidur di meja makan. Esoknya saya berpuasa juga. Sampai jam 9 pagi.

Hari-hari selepas itu barulah saya mula belajar berpuasa dalam erti kata sebenar. Sebelum tidur, emak ajar niat berpuasa Ramadan. Dwi bahasa. Tetapi waktu itu saya tak mampu hendak mengingati versi bahasa Arabnya. Jadi saya niat puasa menggunakan ‘subtitle’nya sahaja.

Sebut pasal niat, saya teringat kisah seorang kawan. Dia bercerita tentang kawannya yang berniat puasa begini: “Sahaja aku berpuasa pada esok hari dalam bulan Ramadan 30 rakaat kerana ALLAH Taala.”

Artikel Berkaitan:

“Sampai Darjah Tiga dia berniat begitu. Mujur saya tolong betulkan,” cerita kawan saya.

“Siapa yang ajar dia?”

“Sepupu sepapatnya juga. Mereka sengaja nak kenakan dia.”

“Emak bapanya?”

“Jenis sekeluarga tak pernah berpuasa...”

Saya diam. Faham. Memang ada keluarga yang begitu. Semasa menjadi aktivis pelajar, saya pernah berkunjung ke rumah penduduk sebuah kampung pada bulan Ramadan bagi satu tujuan penyelidikan. Ketika saya sampai mereka sibuk berbuka puasa. Ketika itu jam 12.30 tengah hari!

Di kampung saya pun ada orang masih berpuasa separuh hari walaupun umurnya telah sama banyak dengan umur Muzium Negara. Ketika memasuki alam pekerjaan, lebih ramai makhluk serupa itu yang saya temui. Yang tidak berpuasa langsung pun bersepah. Itu belum termasuk yang mengaku berpuasa tetapi setiap kali dia buka mulut menyebabkan kita terasa seperti berdiri di tepi kilang tembakau.

Berbalik pada pengalaman saya mula berpuasa. Masih ingat sangat hari pertama berpuasa itu saya berubah menjadi seperti makhluk asing. Dengan perkataan lain, saya bukan Budiman yang biasa. Yang celik sahaja mata akan terus ceria. Yang selepas sahaja basuh muka akan berkejar ke dapur untuk melihat sarapan apa yang emak sediakan. Saya dan makan sampai sekarang pun berpisah tiada.

Tetapi hari itu hendak basuh muka pun saya rasa tidak berdaya. Dari saat mula bangun, saya sudah mengira berapa jam lagi waktu berbuka puasa.

Bagaimanapun atas sebab-sebab yang hanya saya yang tahu, saya berbuka lebih awal pada hari itu. Sebelum jam satu. Puncanya kerana saya terjumpa botol sirap dan baki bubur lambuk dalam peti sejuk.

Silap saya adalah kerana membuka pintu peti sejuk itu tetapi emak lebih silap sebab dia letakkan sirap dan baki juadah berbuka di situ.

Hari-hari selepas itu pun saya berpuasa separuh hari juga. Konsepnya mudah dan menjadi amalan turun-temurun. Hari ini separuh, esok separuh, apabila dicampur jadilah satu hari penuh.

Dan ketika kali pertama berjaya berpuasa penuh, kegembiraan saya tidak tergambar. Saya berasa betul-betul hebat. Terasa macam hendak menjerit memberitahu seluruh dunia.

Ketika kali pertama berpuasa penuh itu saya mengisi hari dengan melihat jam. Berpuluh kali. Malah setengah jam sebelum waktu berbuka, saya duduk menghadap jam di dinding. Melihat jarumnya berdetik sambil membayangkan apa yang saya hendak makan dan hendak minum dahulu nanti. Mengikut rancangan, apa sahaja yang ada di atas meja saya akan ‘belasah’ tetapi apabila tiba waktu berbuka, selepas menghabiskan dua gelas air, sepotong kuih dan tembikai saya terus mencari bantal.

Sempurna

Untuk dua tiga tahun pertama, puasa penuh saya tidaklah sempurna. Ada beberapa kali saya terminum air paip di sekolah tetapi saya teruskan berpuasa juga. Ada sekali dua saya termakan roti bun kaya, namun saya tetap sambung berpuasa kemudiannya. Sekali peristiwa saya termakan mi segera di rumah seorang kawan. Pun saya dan dia terus berpuasa.

Itu tidak mengapa, ada juga pengalaman berbuka puasa 10 minit sebelum waktu berbuka hanya kerana tidak tahan melihat rambutan jiran yang masak ranum.

“Tak mengapa, kita masih budak-budak,” kata kawan saya. Kata-kata yang mengurangkan rasa bersalah saya.

Tahun-tahun seterusnya bukan sahaja menjadikan saya lebih biasa dengan amalan berpuasa, malah mula memahami nikmat dan keseronokannya. Seronok membeli air batu di kedai Cina, seronok membayangkan sirap bercampur biji selasih membasahi tekak, seronok berebut-rebut juadah di meja makan dengan adik-beradik.

Bagi kanak-kanak yang segenerasi dengan saya tentu sedia maklum bahawa Ramadanlah satu-satunya bulan di mana kami berpeluang makan minum dengan semahu-mahunya. Itulah bulan di mana ada sahaja juadah baharu tersaji di meja setiap hari. Tidak perlu lagi berlegar pada lauk-pauk dan kuih-muih yang sama.

Sesukar mana sekali pun kehidupan sesebuah keluarga, ibu dan bapa lazimnya akan berusaha menyediakan juadah yang istimewa daripada biasa untuk anak-anak.

Anak-anak sekarang mungkin tidak merasai keseronokan itu. Kebanyakan mereka boleh mendapat makanan yang sedap-sedap pada bila-bila masa. Apatah lagi dalam era Foodpanda dan GrabFood ini. Budak-budak zaman saya jika diajak ke pasar Ramadan oleh ibu bapa, seronoknya mengalahkan Rohingya mendapat kad UNHCR.

Anak-anak sekarang, sudah sampai bazar pun liat hendak keluar dari kereta. Ketika keluarga saya tinggal di Taman Haji Hamzah, Kapar, ikatan kejiranannya cukup kuat. Setiap petang bulan Ramadan ada sesi bertukar-tukar kuih. Dengan bermodalkan seperiuk bubur kacang yang diagihkan kepada jiran, kita akan menerima pemberian balas yang selalunya berupa juadah yang berbeza-beza. Macam magik.

Masak hanya bubur kacang tetapi bila waktu berbuka di atas meja ada karipap, onde-onde, seri muka, ketayap dan bermacam-macam lagi. Sendawa sampai sahur.

“Ada juga pengalaman bertukar juadah Ramadan ini yang kelakar,” cerita kawan saya.

“Masa tu kami tinggal di Ipoh. Emak aku masaklah bingka ubi. Diberinya seorang sebekas kepada enam jiran kami. Hanya seorang jiran tu yang balas dengan bihun goreng, yang lima lagi secara kebetulan balas balik dengan karipap.”

“Kesemua karipap itu pula bentuk dan rasanya sama. Kami syak, secara kebetulan juga mereka beli di gerai yang sama!” #dush! Selamat menyempurnakan ibadah Ramadan.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia