Wakaf atasi kemelut ekonomi

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan bersempena Bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan bersempena Bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan.
A
A
A

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menggalakkan penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dan aset wakaf sekali gus membantu ekonomi negara.

Saranan Perdana Menteri bersempena pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan itu dibuat sehari selepas beliau dilaporkan berkata, kerajaan sudah tiada banyak wang setelah membelanjakan lebih RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Dari segi angka, cadangan itu kelihatan munasabah. Andai 800,000 iaitu separuh sahaja daripada 1.6 juta penjawat awam berwakaf RM10 sebulan, maka jumlah terkumpul adalah sebanyak RM8 juta sebulan atau RM96 juta setahun.

Namun, tujuan wakaf tentulah lebih daripada sekadar menyalurkan bantuan tunai. Wakaf bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan, malah ia boleh mencapai satu lagi matlamat ekonomi moden iaitu agihan pendapatan lebih baik dalam ekonomi negara.

Pengalaman Turki dalam mengintegrasikan institusi wakaf ke dalam arus utama pembangunan negara, boleh dijadikan contoh oleh Malaysia.

Selain untuk amal kebajikan, dana wakaf di Turki pernah membiayai pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan dan pusat perdagangan - semuanya dibiayai golongan kaya sebagai amal jariah demi mengejar pahala di samping menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Antara amalan wakaf Turki lain yang menarik perhatian termasuklah membantu muda-mudi miskin berkahwin, menjaga keperluan pesakit miskin di rumah sendiri, menanam pokok di tebing sungai, memberi makanan kepada burung bangau, membantu pedagang dan pengusaha yang jatuh bankrap, serta membekalkan kasut kepada pelajar miskin.

Bagaimanapun, galakan berwakaf ini tidak sepatutnya menyebabkan kerajaan alpa daripada terus membantu rakyat di samping mencari sumber-sumber baharu pendapatan negara.

Artikel Berkaitan:

Penjawat awam yang diminta berwakaf itu pula bukan semuanya kaya-raya. Apatah lagi menurut Cuepacs, kira-kira 800,000 penjawat awam mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan RM2,208 sebulan.