KL City FC congak peluang curi mata berdepan TFC

KL City FC dijadualkan menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.
FOTO: FB KL CITY
KL City FC dijadualkan menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jumaat ini. FOTO: FB KL CITY
A
A
A

PENGENDALI KL City FC, Bojan Hodak menjangkakan skuad kendaliannya bakal berdepan tugas sukar apabila menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jumaat ini.

Bojak berkata, TFC bakal memiliki kelebihan apabila beraksi di gelanggang mereka sendiri selain mempunyai kekuatan yang cukup seimbang di setiap posisi.

"Terengganu mempunyai pemain muda dan jurulatih yang bagus selain bermain dengan corak permainan yang berkualiti. Sudah tentu ia akan berikan kesukaran kepada kami terutama ketika bermain di tempat mereka.

"Tetapi sudah tentu mereka juga ada kelemahan dan kami akan mengkaji kelemahan tersebut. Sudah tentu kami tidak mahu pulang dengan tangan kosong nanti," katanya.

Sambil menuntut aksi konsisten, Bojan turut berharap anak-anak buahnya menjadikan kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang FC di Cheras pada Sabtu lalu sebagai motivasi untuk menundukkan TFC.

"Ketika menentang Sabah, kami hanya beraksi baik pada separuh masa kedua, begitu juga ketika menentang PJ City FC. Dalam perlawanan menentang Sri Pahang pula, kami bagus hanya dalam tempoh 45 minit pertama.

"Itu masalah Kuala Lumpur dan kami perlu untuk konsisten sepanjang 90 minit. Perkara ini sedang ditambah baik dan saya harap prestasi pasukan akan lebih bagus pada perlawanan akan datang," katanya.

Selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini, KL City FC berada di kedudukan kelima Liga Super dengan 12 mata hasil tiga kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan.

Artikel Berkaitan: