Kenaikan harga barangan hantui Ramadan di Iraq

Kuasa beli warga Iraq berkurangan pada permulaan Ramadan kali ini ekoran harga pelbagai jenis barangan meningkat dan kemerosotan nilai mata wang negara tersebut. - Foto AFP
Kuasa beli warga Iraq berkurangan pada permulaan Ramadan kali ini ekoran harga pelbagai jenis barangan meningkat dan kemerosotan nilai mata wang negara tersebut. - Foto AFP
A
A
A

PENDUDUK Iraq menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan ketika harga barangan meningkat, kekurangan kuasa beli dalam kalangan rakyatnya dan peningkatan kadar pengangguran dan kemerosotan nilai mata wang dinar di negara tersebut.

Negara itu juga berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih belum reda dan krisis kewangan berikutan kemerosotan harga minyak ketika tibanya bulan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama 29 hari atau 30 hari itu.

Menurut laporan portal berita The National News, umat Islam yang berfahaman Syiah di Iraq akan menyambut bulan Ramadan pada hari Rabu manakala bagi mazhab Sunah pula mereka mula berpuasa pada hari Selasa.

Berikutan kekurangan dana, pihak kerajaan Iraq dilaporkan bertindak menurunkan nilai mata wangnya kira-kira 23 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan Disember tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan harga pelbagai jenis barangan meningkat sehingga 50 peratus ketika negara berkenaan amat bergantung kepada kemasukan dan penjualan barangan-barangan import tetapi ia memberi kesan kepada rakyat tempatan.

Kekurangan dana itu pula disebabkan oleh kemerosotan harga minyak mentah dunia sejak tahun lalu yang mana ia menduduki tangga keenam dunia dari segi pengeluaran komoditi tersebut apabila mengeluarkan sebanyak 4.74 juta tong sehari pada tahun 2020.

Bagi menggalakkan pengeluar-pengeluar barangan tempatan, negara tersebut didakwa melaksanakan sekatan terhadap pengimportan beberapa barangan menyebabkan berlaku kenaikan harga.

Ia berlaku ketika pembekal-pembekal barangan tempatan tidak mampu untuk memenuhi permintaan di negara yang didiami oleh kira-kira 40 juta penduduk itu.

Artikel Berkaitan:

Harga untuk sebotol minyak masak di negara berkenaan misalnya meningkat kepada 2,500 dinar (RM7.07) daripada 1,500 dinar (RM4.24).

Langkah-langkah bagi membendung penularan pandemik Covid-19 seperti pelaksanaan 'lockdown' dan perintah berkurung telah menyebabkan ramai penduduk di negara berkenaan hilang pekerjaan.

Seorang peniaga (kanan) menjual makanan sebelum ketibaan bulan Ramadan di Pasar Seroja, tengah Baghdad pada Isnin lalu. - Foto AFP
Seorang peniaga (kanan) menjual makanan sebelum ketibaan bulan Ramadan di Pasar Seroja, tengah Baghdad pada Isnin lalu. - Foto AFP

Pertubuhan Pertanian dan Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan pernah menyatakan bahawa lebih 50 peratus syarikat kecil dan sederhana di negara itu bertindak memberhentikan pekerja atau mengurangkan gaji.

Portal berita Middle East Monitor pada 12 April lalu melaporkan bahawa statistik terbaharu Kementerian Perancangan negara tersebut menunjukkan kadar pengganguran ialah sebanyak 27 peratus manakala taraf kemiskinan ialah 25 peratus di Iraq.

Sebelum ketibaan Ramadan, ratusan penunjuk perasaan bertindak menutup laluan ke tiga buah jambatan di bandar Nasiriyah iaitu ibu negeri Dhi Qar dan bangunan syarikat minyak Maysan bagi menuntut pekerjaan untuk warga tempatan.

Kementerian Kewangan Iraq pula dilaporkan berkata bahawa belanjawan tahun ini tidak menyatakan terdapat peluang pekerjaan baharu berikutan krisis kewangan yang melanda negara tersebut.

Namun, pada sambutan Ramadan tahun ini, berlaku kenaikan harga barangan makanan menyebabkan ramai kehidupan warga Iraq terjejas tidak seperti pada tahun-tahun lalu.

Menurut AFP, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Haider, 32, yang juga merupakan seorang kakitangan awam menghadapi kesusahan untuk membayar sewa rumah, membelanjakan wang untuk perbelanjaan harian dan tenaga elektrik walaupun memperoleh pendapatan sebanyak AS$600 (RM2,481) sebulan.

Negara itu mengamalkan polisi memutuskan bekalan tenaga elektrik untuk rakyatnya selama 20 jam sehari mengakibatkan ramai penduduknya menggunakan janakuasa yang menggunakan minyak untuk beroperasi bagi memperoleh bekalan tenaga.

Seramai 16 juta penduduk di Iraq dilaporkan hidup di bawah garis kemiskinan dan ketika di zaman pemerintahan bekas Presiden negara itu, Saddam Hussein, seisi rumah yang berpendapatan kurang AS$1,000 (RM4,136) berhak untuk mendapatkan kad subsidi harga.

Dalam pada itu suasana di Pasar Seroja, Baghdad juga dilaporkan lengang pada Sabtu lalu tidak seperti pada zaman kegemilangannya yang dipenuhi ramai pengunjung sejak bertahun-tahun lamanya.

Pasar itu sebelum ini popular kerana ia menjual pelbagai jenis manisan, rempah, teh, pelbagai jenis perhiasan dan barangan lain kerana penduduk dilaporkan takut untuk keluar disebabkan pandemik tersebut.

Bagaimanapun, disebabakan pandemik Covid-19 yang telah merebak ke negara tersebut sebelum ia pertama kali dikesan di bandar raya Wuhan, China pada hujung tahun 2019 mengakibatkan bilangan pengunjung ke pasar berkenaan semakin berkurangan.

Pada Ahad lalu, Iraq mencatatkan 14,713 kematian dan 924,946 kes jangkitan keseluruhan Covid-19 di negara berkenaan. - Agensi