X

Kindly register in order to view this article
!

Suntikan vaksin 'frontliner' ekonomi akan dilaksanakan segera

Mohamed Azmin (kanan) mengedarkan bubur lambuk kepada jemaah Masjid Al Ansar, Taman Keramat, Hulu Kelang pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan komited melaksanakan program imunisasi Covid-19 secepat mungkin kepada pemain industri termasuk dalam kalangan pekerja asing.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata demikian sebagai mengulas desakan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Pusat memberi keutamaan dan mempercepatkan proses suntikan vaksin terhadap barisan hadapan ekonomi di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pandangan dilontarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow itu ada asasnya kerana sektor industri dan perkilangan memainkan peranan penting dalam memulihkan sektor ekonomi negara.

Begitupun menurutnya, negara menghadapi masalah penerimaan bekalan vaksin yang perlahan seperti dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Jika vaksin sampai seperti waktu yang telah dijadualkan, kita yakin proses ini dapat disempurnakan selewat-lewatnya hujung tahun ini

"Setakat ini, Alhamdulillah bekalan vaksin ini berjalan baik dan lancar, dijangka jumlah bekalan vaksin akan meningkat dengan lebih besar antara Mei dan Jun. Ini akan mempercepatkan lagi proses imunisasi," katanya kepada pemberita selepas hadir pada program edaran bubur lambuk di Masjid Al Ansar, Taman Keramat, Hulu Kelang pada Selasa.

Dalam pada itu, Azmin berkata, proses imunisasi fasa ke-3 dipercepatkan bermula 19 April ini menunjukkan kerajaan komited melaksanakan program imunisasi secara menyeluruh.

"Kita juga ambil maklum Selangor dan Pulau Pinang antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara kerana wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak.

"Maka ini adalah zon yang akan diberikan keutamaan untuk mendapat suntikan vaksin kepada pekerja sektor industri dan perkilangan," katanya.

Kon Yeow pada Selasa berkata, kerajaan Pulau Pinang telah beberapa kali membangkitkan isu suntikan vaksin terhadap barisan hadapan ekonomi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dan kerajaan Pusat selepas 10 daripada 12 kluster di negeri itu merupakan sektor industri.

Pada masa sama, Kon Yeow berkata, pemberian vaksin kepada pekerja asing juga perlu diberikan tumpuan kerana majoriti daripada mereka bekerja dalam sektor kilang dan industri serta berisiko tinggi terdedah kepada Covid-19.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang masih belum menerima maklum balas berkenaan desakan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang desak percepat suntikan vaksin 'frontliner' ekonomi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!