Kaji dahulu sebelum laksana

Sebahagian kakitangan kaunter jualan tiket membuat bantahan di kediaman Ketua Menteri Melaka di Seri Bandahara, Ayer Keroh, kelmarin.
A
A

MELAKA - Pas Melaka sifatkan cadangan kerajaan negeri melaksanakan Sistem Tiket Berpusat (CTS) di Melaka Sentral sebagai tindakan kurang bijak.

Pesuruhjayanya, Kamarudin Sidek berkata, kerajaan negeri sepatutnya melihat secara menyeluruh perkara tersebut sebelum mekanisme baharu itu diperkenalkan.

“Kerajaan negeri perlu memikirkan mengenai nasib pekerja kaunter tiket sedia ada. Gaji mereka pun bukannya besar sangat tetapi mereka ada keluarga yang hendak ditanggung.

“PH kata nak bela nasib rakyat tetapi dalam isu ini ia dilihat lebih menzalimi pekerja terlibat dan yang sedihnya majoritinya adalah Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, beliau difahamkan syarikat bas terlibat tiada niat untuk memberhentikan pekerja namun mereka tiada pilihan selain berbuat demikian apabila sistem berkenaan dilaksanakan kelak.

“Takkan syarikat bas nak bayar pampasan sedangkan yang hendak menukar sistem ini kerajaan negeri,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kira-kira 60 kerani jualan tiket bas bakal kehilangan pekerjaan apabila Terminal Bas Melaka Sentral di sini bertukar kepada CTS yang akan dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta bermula 1 Mac depan.

Mereka mendakwa telah menerima notis arahan mengosongkan kesemua 28 kaunter tiket sewaan di terminal berkenaan selewat-lewatnya jam 12 malam pada 28 Februari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya akan mengkaji semula terma perjanjian membabitkan kedua-dua pihak termasuk mengadakan pertemuan dengan wakil Melaka Sentral Sdn Bhd (MSSB) dan pekerja terlibat bagi menyelesaikan masalah mereka Isnin depan.