Covid-19: Sarawak catat kes tertinggi, 607 kes baharu

No Image Caption
A
A
A

KUCHING, - Sarawak merekodkan kes positif Covid-19 baharu tertinggi melibatkan sejumlah 607 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini 20,959, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan empat kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 128 orang.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengisytiharkan satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jalan Puncak Borneo di Kuching pada Selasa.

“Kluster Jalan Puncak Borneo adalah kluster di tempat kerja melibatkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol).

“Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-19,697 yang merupakan seorang pelatih pusat latihan tersebut yang disaring melalui saringan individu bergejala pada 9 April di Klinik Kesihatan Kota Sentosa,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPBN kes yang berasal dari Perlis itu sampai ke Sarawak pada 22 November lalu dan pesakit mula mengalami demam pada 8 April dan disahkan mendapat jangkitan Covid-19 pada 12 April.

“Pemerebakan jangkitan dalam kalangan pelatih Pulapol berpunca dari pergaulan rapat dan kurang amalan penjarakan fizikal antara pelatih yang tinggal di asrama platun dan kompeni yang sama secara beramai.

“Hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas kontak rapat serta rakan sepelatih kepada kes indeks ini, tambahan 60 kes dikesan positif Covid-19. Sehingga 13 April, sejumlah 111 individu disaring melibatkan kluster ini, dengan 61 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: