Thailand catat hampir 1,000 kes harian tiga hari berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan hampir 1,000 kes baharu Covid-19 untuk hari ketiga berturut-turut ketika percutian tahun baru Songkran bermula pada Selasa.

Bagi menghentikan penularan gelombang ketiga jangkitan, kerajaan melarang aktiviti 'menyimbah air’ yang merupakan sebahagian daripada perayaan - untuk tahun kedua. Selain itu, perayaan dan aktiviti Songkran dibatalkan manakala pihak berkuasa menggesa orang ramai tidak membuat perjalanan yang tidak penting.

Pakar kesihatan menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya lonjakan jangkitan selepas festival Songkran kerana ramai yang pulang ke kampung di tengah peningkatan jumlah kes Covid-19.

Meskipun amaran telah diberi, ribuan dilaporkan melakukan perjalanan sejak Jumaat.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata, sebanyak 965 kes baharu baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 34,575 dan kematian kekal 97.

Berdasarkan kes baharu, 956 penularan tempatan, 654 membabitkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital dan 302 melalui langkah pengesanan kes aktif.

Menurut kenyataan itu sembilan kes import telah dilaporkan, termasuk lima dari Malaysia.

"Chiang Mai menduduki tempat teratas dengan jumlah kes tertinggi 251,diikuti Bangkok (194), Chon Buri (97) dan Prachuap Khiri Khan (73)," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Thailand mencatatkan 967 kes Covid-19 pada Ahad dan 985 kes pada Isnin.

Ketika jumlah kes baharu terus meningkat di ibu negara Thailand, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) membuka sebuah hospital lapangan dengan 500 katil yang dijadualkan beroperasi pada 19 April.

Setakat ini, BMA telah mendirikan empat hospital lapangan di Bangkok dengan 1,250 katil untuk menampung peningkatan jumlah pesakit.

Selain itu, Kementerian Pertahanan turut mendirikan hospital lapangan di Bangkok dan wilayah-wilayah berhampiran yang menyediakan lebih 5,000 katil. - Bernama