Maqis Pulau Pinang rampas 70,650 kg daging kerbau India

Sebanyak empat kontena yang membawa 70,650 kg daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Maqis Pulau Pinang kerana tidak mematuhi syarat permit import.
Sebanyak empat kontena yang membawa 70,650 kg daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Maqis Pulau Pinang kerana tidak mematuhi syarat permit import.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menahan empat kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku dari India pada jam 2.20 petang, Isnin.

Pengarahnya, Noriah Dahlan berkata, dalam pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini mendapati, keempat-empat kontena itu membawa 70,650 kilogram (kg) daging kerbau dianggarkan bernilai RM614,605.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pegawai penguatkuasa Maqis Pulau Pinang mendapati, kesemua konsainan berkenaan tidak mematuhi syarat permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Maqis.

"Keseluruhan dagangan tersebut telah gagal mempamerkan maklumat yang dikehendaki pada syarat import permit yang telah diluluskan. Kesemua dagangan tersebut ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import Maqis adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728] yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(2) akta sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Noriah berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Artikel Berkaitan: