Anak yatim, asnaf terima sumbangan pakaian

Mohd Adnan (kanan) bergambar bersama anak yatim dan asnaf Madrasah Al-Huffaz Wal Ulum, Puncak Alam pada Program Bantuan Pakaian Sempena Aidilfitri di Starvillion, Shah Alam di sini pada Selasa.
Mohd Adnan (kanan) bergambar bersama anak yatim dan asnaf Madrasah Al-Huffaz Wal Ulum, Puncak Alam pada Program Bantuan Pakaian Sempena Aidilfitri di Starvillion, Shah Alam di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 41 anak yatim dan asnaf di Madrasah Al-Huffaz Wal Ulum, Puncak Alam menerima sumbangan pakaian sempena Aidilfitri daripada Persatuan Alumni Program Persahabatan Asean Jepun Abad 21(Pamaja) Malaysia.

Presiden Pamaja Malaysia, Mohd Adnan Md Daud berkata, program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu memperuntukkan dana sebanyak RM7,000 pada tahun ini.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati memilih madrasah itu yang memerlukan perbelanjaan operasi tinggi iaitu kira-kira RM80,000 sebulan.

"Pusat tahfiz ini (Madrasah Al-Huffaz Wal Ulum), ada tiga cawangan di negeri ini iaitu dua di Puncak Alam yang menempatkan pelajar lelaki dan perempuan dan sebuah lagi pusat tahfiz yang beroperasi di Seksyen 13 Shah Alam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Program Bantuan Pakaian Sempena Aidilfitri di Starvillion, Shah Alam di sini pada Selasa.

Mohd Adnan berkata, program sumbangan itu merupakan siri kedua selepas penyerahan sama pada sebuah rumah kebajikan di Setia Alam pada Mac lalu.

"Sebelum ini kita pernah menjalankan CSR di Kemboja pada 2018 dan untuk tahun ini kita membantu dari segi menyediakan kelengkapan pakaian Aidilfitri," ujarnya.

Jelasnya, dana yang dikumpul itu diperoleh hasil daripada sumbang individu dan ahli Pamaja Malaysia serta ahli Koperasi Dinamik Kemas Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Hasil sumbangan ini kita kumpulkan dan kita membantu golongan memerlukan bagi meringankan beban selain menceriakan mereka terutama dalam menyambut Aidilfitri nanti," kata Mohd Adnan.