'Arwah pernah luah hasrat nak pulang Malaysia'

Mohiddin melihat laporan berita berkenaan Allahyarham yang meninggal dunia
Mohiddin melihat laporan berita berkenaan Allahyarham yang meninggal dunia
A
A
A

SEREMBAN - "Apa yang boleh katakan arwah memang menantu yang baik dan kami semua terasa kehilangannya," kata Mohiddin Hamzah, 65, bapa mertua kepada pelajar Malaysia, Muhammad Hafidz Abdullah yang meninggal dunia di Unit Rawatan Kritikal, Northern General Hospital di Sheffield, United Kingdom.

Allahyarham yang berusia 36 tahun itu, kini berada di tahun kedua pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield dimasukkan ke hospital terbabit untuk mendapatkan rawatan selepas rebah ketika bermain bola sepak pada 4 April lalu.

Mohiddin berkata, sebulan lalu arwah ada menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia tetapi tidak dinyatakan bila.

"Kami sekeluarga pun terkejut bila dapat berita yang arwah meninggal kerana setahu saya dia tiada masalah kesihatan yang serius melainkan ada darah tinggi.

"Lagipun setiap hari kami ada buat panggilan video dengan arwah dan saya nampak dia sihat saja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semarak di sini pada Selasa

Muhammad Hafidz Abdullah
Muhammad Hafidz Abdullah

Beliau berkata, kali terakhir berjumpa dengan arwah dua tahun lalu ketika menghantar Allahyarham Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambung pengajiannya.

Katanya, Allahyarham sangat disenangi seluruh ahli keluarga yang turut disifatkan bagus serba serbi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya keadaan anaknya, Nazihahwati yang merupakan isteri Allahyarham, kata Mohiddin, emosi anak keduanya itu sedikit terganggu tetapi masih terkawal.

Terdahulu media melaporkan penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang merupakan kakitangan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia itu dilapor bermain bola di Pusat Sukan Goodwin di Sheffield.

Allahyarham kemudian tiba-tiba pengsan dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada Jumaat.