DAP lalui transformasi untuk menonjol sebagai parti pelbagai kaum

ANTHONY LOKE
ANTHONY LOKE
A
A
A

KAJANG – Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP sedang melalui proses transformasi agar lebih menonjol sebagai parti berbilang kaum di negara ini.

Justeru, dalam reaksi balas beliau terhadap kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew yang menyatakan DAP tidak perlu ‘mencairkan kecinaannya’ dan dibataskan hanya untuk meraih sokongan orang Melayu, dilihat sebagai gambaran jelas DAP kini meletakkan kepelbagaian sebagai asas parti.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat Ronnie tidak lebih daripada satu bentuk kritikan melibatkan dalaman parti namun telah dibahaskan secara terbuka.

“Kenyataan itu tidak mewakili keseluruhan DAP, mungkin itu pandangan dia terhadap DAP. Mungkin ia mewakili sebahagian ahli atau beliau sendiri.

“Dari segi kepimpinan, dasar dan pendekatan yang dibawa oleh kepimpinan DAP hari ini jauh berbeza daripada apa yang dikatakan.

“Ini satu proses perbahasan dalaman DAP yang sekarang terbuka, menunjukkan bahawa DAP juga melalui proses transformasi dalaman yang ada pihak setuju dan tidak setuju.

“Sebab itu ia dikritik kerana ada usaha dari pihak DAP untuk kita lebih inklusif, terbuka supaya kita dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya,” katanya menerusi program bual bicara Minda TV: Bicara Tokoh ‘Malaysia: Di mana & ke Mana Kita’ anjuran Majlis Profesor Negar (MPN) pada Selasa.

Jelasnya, selaku pemimpin yang memperjuangkan perubahan tersebut, beliau bertanggungjawab menjelaskan kepada ahli parti bahawa DAP adalah parti yang berbilang kaum meskipun perlu berdepan penolakan oleh ahli parti.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai pemimpin kita kena berani menanggung bahawa walaupun mungkin ada usaha untuk menjatuhkan kita dalam pemilihan kepimpinan parti...tetapi itu satu risiko yang kita ambil dan mesti jelaskan kepada ahli.

“Sama ada diterima atau tidak itu terpulang kepada perwakilan. Kalau orang yang membawa haluan ini tak berjaya yakinkan perwakilan, kesannya mungkin saya dikalahkan, tidak masuk dalam kepimpinan parti selepas kongres,” katanya.

Ditanya adakah DAP akan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap Ronnie, Anthony berkata perkara itu akan dibincangkan.

Ronnie dalam satu program di Klang pada Isnin menyatakan DAP tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan tidak perlu mencairkan 'kecinaannya' hanya kerana kritikan daripada musuh politik mereka.

Susulan itu, beberapa pemimpin DAP menempelak kenyataan Ronnie sambil menyifatkan ia tidak menggambarkan pendirian parti.