Sel kanser kembali aktif

Azlezan bersama tiga daripada empat anaknya.
Azlezan bersama tiga daripada empat anaknya.
A
A
A

KLANG – Ketika ibu lain sibuk menyediakan keperluan untuk anak-anak ke sekolah, Azlezan Mohd Yusof, pula hanya mampu terbaring akibat penyakit kanser otak.

Wanita berusia 35 tahun ini disahkan menghidap kanser otak sejak 2016 selepas mengalami strok otak. Menurutnya, sebelum itu dia selalu berulang alik ke klinik kerana sering sakit kepala dan migrain.

"Bagaimanapun, pada Disember 2016 selepas bangun dari tidur, saya tak ingat apa-apa, otak rasa kosong. Selepas pemeriksaan lanjut di hospital, doktor sahkan saya menghidap kanser otak tahap empat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pinang Raja, di sini.

Azlezan berkata, sejak itu hospital menjadi rumah keduanya namun masih ada tekad dalam dirinya untuk sembuh dan kembali hidup normal. Tidak lama kemudian katanya, doktor mengesahkan dia bebas tetapi kegembiraan itu tidak lama apabila sel kanser kembali aktif.

“Selepas Aidilfitri tahun lalu, sel kanser kembali menyerang menyebabkan mata jadi kabur dan telinga kiri kurang jelas. Begitu juga tangan dan kaki kiri jadi lemah. “Kalau nak bangun kena ada orang tolong pegangkan. Mujur ada anak-anak dan suami, merekalah yang banyak bantu uruskan saya,” katanya.

Azlezan kini hanya mampu terbaring dan mengharapkan bantuan suami serta anak-anak.
Azlezan kini hanya mampu terbaring dan mengharapkan bantuan suami serta anak-anak.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia 13 hingga 4 tahun ini berkata, dugaan datang bertimpa apabila suaminya, Zainalabidin Mohamed Yusof, 48, yang bekerja di sebuah kilang di Bandar Sultan Suleiman, di sini tidak dibayar gaji sejak empat bulan lalu.

"Tuhan saja yang tahu apa yang kami tanggung. Lebih sedih lagi bila awal tahun kami tak dapat sediakan kelengkapan untuk anak-anak sekolah. “Sehingga saya terpaksa meminta bantuan jiran-jiran dan rakan-rakan sumbangkan pakaian sekolah terpakai untuk anak-anak kami,” katanya sambil menyeka air mata.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendapatan suaminya hanya RM1,500 sebulan dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Dulu sebelum jatuh sakit saya memang ambil upah berurut untuk bantu tambah pendapatan keluarga. Malah masa sakit pun saya masih lagi gagahkan diri berurut sebab dua tangan masih kuat. Tapi sejak sel kanser kembali aktif, saya hanya mampu baring. Azlezan memberitahu, dia bersyukur kerana ada jiran, sahabat serta orang ramai yang datang menghulurkan sumbangan barangan keperluan.

Katanya, hasil sumbangan itu mereka sekeluarga berjimat. “Baru-baru ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumah. Alhamdulillah, mereka akan bantu ringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang dilihat sesekali menahan sakit.

Tambah Azlezan lagi, walaupun ujian diterima amat berat, namun dia reda.

“Apa lagi pilihan lain yang saya ada, selain reda dan tawakal?. Setiap hari saya tak pernah kenal putus asa berdoa supaya ALLAH SWT memberikan kekuatan dan sembuhkan penyakit ini,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Zainalabidin Mohamed Yusof, 112464126954 atau menghubungi Azlezan di talian 011-23352038.