Batal bazar Ramadan: Kelantan beri saguhati kepada peniaga terjejas

Dr Izani Husin.
Dr Izani Husin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta sebagai saguhati kepada 2,500 peniaga yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, seramai 2,500 peniaga yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri akan menerima manfaat tersebut dalam waktu terdekat.

“Kita cukup memahami bahawa setiap kali musim Ramadan, bazar Ramadan merupakan punca kepada peniaga kecil. Kita sudah menjangkakan kerugian akan dialami mereka kerana tidak meneruskan bazar ini.

"Kita cukup faham, ada sesetengah peniaga sudah beli barang. Oleh itu, saguhati ini diberikan atas kesusahan mereka. Kita berharap dengan sedikit pemberian ini dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Izani berkata, pembatalan bazar Ramadan tersebut dilakukan secara drastik kerana keadaan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang tidak stabil di negeri ini serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Jelasnya, kerajaan juga bimbang sekiranya jumlah kes Covid-19 berterusan yang berkemungkinan besar akan menyebabkan Kelantan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keputusan untuk melaksanakan PKP atau PKP Bersyarat (PKPB) adalah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jabatan Kesihatan Negeri akan memberikan laporan kepada MKN.

“Jika keadaan semakin tidak terkawal, kapasiti hospital tidak cukup dan sebagainya, dari situlah keputusan untuk melaksanakan PKP akan diputuskan oleh MKN, dan bukan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

“Cuma satu sahaja saya minta, kerjasama seluruh rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP). Ini kerana jika kes meningkat, kita berada dalam PKP, rakyat akan susah. Kerajaan juga akan susah dan ekonomi akan kembali merudum.

“Walaupun kita hanya membatalkan bazar Ramadan, namun peniaga lain juga mestilah mematuhi peraturan ditetapkan. Semua pihak kena patuh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kelantan mohon maaf batal bazar Ramadan