YAA tawar biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan

Ghazali Bujang (kanan) menyerahkan sumbangan kurma kepada Dr Shamsul Anuar Kamarudin di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
Ghazali Bujang (kanan) menyerahkan sumbangan kurma kepada Dr Shamsul Anuar Kamarudin di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Amal Asas (YAA) merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang membantu golongan asnaf terutama dalam aspek pendidikan.

Presidennya, Ir Ghazali Bujang berkata, persatuan yang ditubuhkan oleh alumni Sekolah Alam Shah itu menawarkan biasiswa pelajaran kepada pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Menurutnya, setakat ini seramai 90 pelajar daripada sekolah tersebut telah menerima biasiswa manakala 120 pelajar di sekolah luar bandar pula dibimbing berkaitan pembinaan siasah dan kemahiran insaniah.

“Kami menumpukan kawasan-kawasan masyarakat asnaf di pinggiran bandar dan juga di kampung-kampung. Tempat yang kami aktif untuk buat penglibatan ialah di Lembah Subang selain pelajar di Sekolah Alam Shah.

“Apabila mereka habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebelum masuk ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), kita bagi 'one off' geran kepada mereka untuk masuk ke universiti berkenaan.

“Tujuan kita nak bantu mereka ialah untuk menyedarkan bahawa melalui pelajaran sahaja kami yakin mereka boleh keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas majlis agihan kurma kepada Pengarah Hospital Tunku Azizah, Dr Shamsul Anuar Kamarudin di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut berkaitan anggaran peruntukan, Ghazali berkata, sebanyak RM200,000 telah dibelanjakan kepada penerima sejak 2016 sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Begitupun, menurutnya, jumlah kewangan YAA kini semakin sedikit bagi meneruskan bantuan disalurkan dan mengajak mereka yang ingin turut serta dalam menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian di laman rasmi ataupun Facebook Yayasan Amal Asas.

“Harapan kami, kita nak tingkatkan profil YAA ini dan menggalakkan semua orang terlibat sama membantu.

“Jadi sesiapa yang ingin membantu, kita ingin maklumkan bahawa setiap seringgit yang disumbangkan insya-ALLAH sampai kepada kumpulan sasar berkenaan. Bila ada tambahan dana, kami boleh mengembangkan lagi kumpulan sasar bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga ke negeri-negeri lain,” ujarnya.