Tindakan pantas LUAS elak gangguan bekalan air

LUAS meletakkan 10 beg di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.
LUAS meletakkan 10 beg di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengawal pencemaran air di Sungai Batang Benar, Negeri Sian berjaya mengelakkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas, sekali gus tidak menyebabkan gangguan bekalan air pada Isnin.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, LUAS menerima laporan pencemaran air sungai itu berwarna putih ekoran insiden sebuah kilang cat terbakar di Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan, petang Isnin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat aliran air berwarna putih telah masuk ke Tasik Ujana Nilai Impian sebelum masuk ke Sungai Batang Benar.

"Insiden tersebut dikesan berikutan kerja-kerja memadamkan api di kawasan kilang cat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Loy Sian berkata, LUAS telah mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat.

"Siasatan LUAS mendapati jarak insiden tersebut ke muka sauk Jenderam Hilir,Sungai Semenyih anggaran dalam 13.7 kilometer (km) dan dalam tempoh sembilan jam untuk sampai ke muka sauk tersebut.

"Ujian pensampelan bau telah dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih mencatatkan kadar bau sifar 0 ton," katanya.

Beliau memberitahu, Pihak Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan juga telah dimaklumkan untuk bersama-sama menjalankan siasatan di kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, LUAS meneruskan pemantauan ke lokasi Sungai Pajam dan mendapati keadaan air Sungai Pajam adalah normal dan jernih selain mencatatkan bau sifar 0 ton malam Isnin.

"Berdasarkan pemantauan statik LUAS sehingga jam 8 pagi hari ini (Selasa) di Jambatan Sungai Pajam, ujian pensampelan bau mencatatkan bacaan sifar 0 ton dan aliran air sungai dalam keadaan normal.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan dengan pihak LUAS telah meletakkan 10 beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di Sungai Batang Benar untuk mencegah sebarang pencemaran bau dalam air mentah.

"Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari masa ke masa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat bagi memastikan sumber air Negeri Selangor terpelihara," katanya.