Lelaki gelisah bongkar kegiatan seludup dadah

Hanyan (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas semasa sidang akhbar di lokasi SJR Perasing, Kemaman pada petang Isnin
Hanyan (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas semasa sidang akhbar di lokasi SJR Perasing, Kemaman pada petang Isnin
A
A
A

KEMAMAN - Gelagat seorang lelaki yang gelisah ketika di sekatan jalan raya (SJR) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Chukai di sini membongkar kegiatannya cuba menyeludup dadah pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, anggota bertugas di SJR di lokasi berkenaan menahan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dari Taman Tas, Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki yang menaiki kenderaan itu berseorangan kelihatan gelisah mungkin tidak menjangkakan memasuki laluan SJR.

"Dia mungkin tahu apabila masuk ke SJR ini, memang tidak boleh terlepas atau mengelak daripada diperiksa.

"Paling ketara kegelisahan lelaki itu selepas diminta mengemukakan surat rentas negeri sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam kenderaan berkenaan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 400 gram serta 140 biji pil kuda yang diletakkan di atas kerusi penumpang hadapan.

"Anggaran harga di pasaran kira-kira RM10,000. Turut ditemukan wang tunai berjumlah RM10,000 yang diikat rapi bersama satu unit alat penimbang juga ada bersama," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di lokasi SJR Perasing di sini pada petang Isnin.

Hanyan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan kesalahan kerana merentas negeri tanpa kebenaran iaitu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

Jelas Hanyan lagi, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui dari mana bekalan dadah itu diambil dan lokasi untuk diedarkan.