Najib bimbang hasrat wujud REIT rugikan rakyat, negara

Hantaran yang dimuat naik Najib di laman sosial Facebook miliknya.
Hantaran yang dimuat naik Najib di laman sosial Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan hasrat kerajaan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) bagi lapangan terbang dan hospital.

Najib berkata, hasrat tersebut dibimbangi menjadi satu cara untuk menjual aset-aset kerajaan kepada pihak swasta sekali gus menyebabkan kerugian kepada rakyat dan negara pada masa depan.

“Jika PH terang-terang kata kepada rakyat mereka mahu jual semua lapangan terbang dan bangunan hospital milik kerajaan, tentu ramai akan marah. Kesian pulak admin FB (Facebook) mereka (PH) penat-penat delete komen nanti.

“Sebenarnya, Menteri Kewayangan (Menteri Kewangan) sudah umum rancangan untuk jual dalam Bajet 2019, tapi rakyat biasa tidak sedar kerana cara licik mereka umumkan mahu kumpul dana dengan cara REIT untuk lapangan terbang dan hospital,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook beliau.

Najib berkata demikian susulan daripada kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang merancang untuk mewujudkan REIT bagi memperoleh dana khas bagi kementerian berjumlah sehingga RM30 bilion.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga pernah menyatakan hasrat yang sama apabila kerajaan bercadang untuk mewujudkan REIT bagi lapangan terbang iaitu skim pertama seumpamanya di dunia.

Najib berkata, walaupun pihak swasta hanya memegang 30 peratus daripada REIT tersebut namun beliau bimbang sewa aset itu tidak lagi dibayar kepada kerajaan tetapi kepada syarikat yang dikuasai oleh pelabur asing dalam syarikat terbabit.

“Semua lapangan terbang dan bangunan hospital milik kerajaan akan dijual kepada sebuah syarikat REIT yang baru ditubuh.

Artikel Berkaitan:

“Lalu 30 peratus dari saham atau dipanggil unit dalam syarikat REIT ini akan dijual kepada pelabur swasta termasuk pelabur asing. Maka, pihak swasta akan memilik kepentingan 30 peratus dalam semua lapangan terbang dan bangunan hospital kerajaan.

“Kini, syarikat milik Khazanah iaitu Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) bayar sewa untuk guna lapangan terbang kepada kerajaan, nanti, MAHB akan bayar sewa pula kepada syarikat REIT, bukan lagi kepada kerajaan,” jelas Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu turut bimbang hospital-hospital awam yang tidak membayar sebarang sewa kepada kerajaan akan mengakibatkan kos operasi meningkat.

“Suatu hari nanti, hospital-hospital kerajaan akan bayar sewa kepada syarikat REIT, maka kos operasi tahunan hospital-hospital awam pun akan naik juga. Pihak swasta akan dapat 30 peratus dari sewa-sewa yang dibayar setiap bulan,” ujar beliau.

Najib mengakhiri tulisannya dengan menyatakan, jika kerajaan boleh menjual kepentingannya sebanyak 30 peratus sudah tentu mereka dapat menjual dengan mudah baki 70 peratus pada masa depan.

“Apa lagi PH mahu jual?,” soal beliau.