Kerajaan PN perlu pertimbang semula pelaksanaan GST

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mempertimbangkan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut mempersoalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) masih diteruskan walaupun dasar yang diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu jelas gagal.

“Tidak perlu diulang-ulang PN mengutamakan rakyat. Cari segera penyelesaian bagaimana mahu menambah hasil negara,” katanya menerusi Facebook beliau pada Selasa.

Mohd Puad berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kerajaan sudah tidak mempunyai banyak wang kesan daripada perbelanjaan yang perlu disalurkan berkaitan Covid-19.

Muhyiddin berkata, lebih RM600 bilion dibelanjakan dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.

Sementara itu, Mohd Puad turut melontarkan soalan adakah kerajaan PN akan menaikkan lagi had hutang negara kepada 64.1 peratus pada akhir tahun ini.

“Itu melepasi paras 60 peratus yang diluluskan Parlimen pada bulan Ogos 2020. Kerajaan PN rancang berhutang sebanyak RM95 bilion pada tahun 2021.

“Bermakna hutang akan naik kepada RM975 bilion berbanding RM687 bilion sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, adalah tidak salah kerajaan berhutang bagi membantu rakyat semasa pandemik, bagaimanapun perlu ada formula baharu untuk menambah hasil negara.

“Menteri kanan yang menjaga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula macam tidak kompeten untuk menarik pelabur asing. Minta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jangan tidur,” sindir beliau.