X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri nafi bekalan minyak masak bersubsidi berkurangan

Alexander Nanta Linggi
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan laporan portal bahawa terdapat kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kuota 60,000 tan metrik masih dikekalkan kerajaan walaupun harga RBD Palm Olien meningkat sebanyak 83 peratus kepada RM4,122 per tan metrik pada tahun ini berbanding RM2,2555 per tan metrik tahun lalu.

"Ini bersamaan dengan 60 juta paket polibeg 1kg iaitu 1.5kg diperuntukkan untuk setiap rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurutnya, kerajaan turut menambah peruntukan atas dasar komitmen untuk membekalkan 60,000 tan metrik setiap tahun meskipun harga RBD Palm Olien meningkat.

"Sekiranya kenaikan harga RBD Palm Olien terus menunjukkan trend peningkatan, kerajaan menjangka kos terus meningkat bagi skim ini daripada RM400 juta kepada RM1.8 billion," katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk mengekalkan kuota dalam program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) menunjukkan komitmen yang tinggi untuk mengurangkan kos sara hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.

"Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa menjalankan pengauditan secara komprehensif untuk memastikan setiap pengeluaran minyak masak bersubsidi dapat diterima di setiap rantaian pengedarannya," katanya.

Alexander berkata, susulan dari pengauditan dan tindakan tegas dalam menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi, sebanyak 318 kes telah dihasilkan di seluruh negara melibatkan minyak masak sejak tahun 2016 sehingga Mac 2021.

"Dalam tempoh tersebut, sebanyak empat syarikat pembungkus minyak masak diambil tindakan dengan membatalkan kuota yang telah diberikan kepada mereka sebelum ini," katanya.

Menurutnya, terdapat 11 pembungkus minyak masak bersubsidi di bawah Program COSS di Sarawak dengan kuota berjumlah 3,067 metrik tan.

"Semakan rekod juga mendapati bahawa aduan berkaitan minyak masak di Sarawak pada tahun 2020 sehingga 31 Mac 2021 ialah sebanyak 25 aduan.

"Selain daripada itu, sejumlah 4,221 pemeriksaan dibuat ke atas premis-premis yang menjual minyak masak sehingga 12 April 2021 dan telah menghasilkan sejumlah lapan kes sepanjang tahun 2021 ini," katanya.

Sementara itu, bagi isu gula, harga jualan domestik adalah dikawal pada harga maksimum iaitu RM2.85 sekilogram bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95 sekilogram bagi gula putih bertapis halus untuk jualan secara runcit.

"Manakala harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77 sekilogram bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85 sekilogram bagi gula putih bertapis halus," katanya.

Menurutnya, syarikat pengeluar makanan, minuman dan pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun.

"Permohonan yang memenuhi syarat akan dipertimbangkan secara teliti oleh satu Jawatankuasa Penilaian yang diwakili oleh beberapa agensi kerajaan yang berkaitan temasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Keutamaan pemberian permit mengimport adalah kepada mana-mana syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong yang memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan," katanya.

Tambahnya, pemantauan berterusan juga dilakukan terhadap penerima permit mengimport gula bertapis bagi mengelakkan penyalahgunaan dan penyelewengan serta tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan permit mengimport gula bertapis.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!