Puasa Ramadan: Penguat kuasa Jawi pantau geng 'plastik hitam'

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dikerah untuk memantau dan membanteras aktiviti geng 'plastik hitam' sepanjang Ramadan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemantauan akan dilakukan secara berkala mengikut jadual ditetapkan.

"Selain itu kita akan buat operasi berdasarkan aduan diterima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kembara Al- Amin di Kompleks Islam Putrajaya pada Selasa.

Menurutnya, tindakan bukan hanya diambil terhadap individu kaki ponteng puasa tetapi juga premis perniagaan atau restoran yang menjual makanan kepada golongan itu.

"Tertangkap, pastinya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang," tegasnya.

Beliau mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan segelintir individu yang tidak puasa di bulan Ramadan.

Geng 'plastik hitam' adalah merujuk kepada individu atau sekumpulan orang yang merupakan kaki ponteng puasa.

Berdasarkan Seksyen 15 Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, menjual atau secara terbuka makan dan minum atau seumpamanya boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu berkenaan boleh didenda sehingga RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, mengulas mengenai Kembara Al-Amin, Ahmad Marzuk berkata, program berkenaan bermula pada 1 Ramadan menampilkan 13 segmen berkonsepkan bual bicara, infografik, videografi, peraduan, doa dan zikir.

"Ia disiarkan secara langsung atau rakaman melalui platform media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)," katanya.

Ditanya mengenai tahap kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika solat terawih, beliau berkata, pihaknya berpuas hati.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan pelanggaran SOP," katanya.