Masalah banjir di Teluk Danga selesai selepas projek perparitan siap

Hasni meninjau sistem perparitan utama bagi kawalan banjir di Lido Waterfront Boulevard, berhampiran Teluk Danga di Johor Bahru.
Hasni meninjau sistem perparitan utama bagi kawalan banjir di Lido Waterfront Boulevard, berhampiran Teluk Danga di Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Masalah banjir dihadapi penduduk di sekitar Teluk Danga dijangka selesai dengan siapnya projek sistem perparitan utama bagi kawalan banjir di Lido Waterfront Boulevard.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, projek yang menelan kos sebanyak RM19 juta itu dimulakan pada Januari 2019 dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

“Projek pembinaan sistem perparitan utama ini telah dilaksanakan oleh Tropicana Corporation Berhad dan kita sangat berpuas hati kerana mereka berjaya menyiapkan projek tersebut.

“Kita yakin, ia mampu mengatasi masalah banjir di hulu Sungai Abdul Samad dan Sungai Chat yang sering menjejaskan kehidupan penduduk- penduduk khususnya di kawasan Kampung Mohd Amin,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan projek berkenaan oleh Lido Waterfront Boulevard Sdn. Bhd. yang diwakili Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Ismail Karim kepada Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud yang mewakili Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), iaitu entiti yang bakal mengawal selia sistem perparitan berkenaan.

Hadir sama, Pengarah Lido Waterfront Boulevard Sdn. Bhd., Datuk Avinderjit Sing a/l Harjit Singh dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tropicana Corporation Bhd., Lee Han Ming.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, sistem perparitan berkenaan turut dilengkapi dengan perangkap sampah dan mengharapkan ia dapat memastikan perairan di kawasan sekitar Teluk Danga lebih bersih.

“Bagi memastikan kelancaran pengoperasian sistem perparitan utama bagi kawalan banjir ini, projek tersebut turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Artikel Berkaitan: