X

Kindly register in order to view this article
!

PATI loloskan diri hampir lemas dalam sungai

Bot yang dinaiki PATI mengalami kemalangan dan terbalik sewaktu cubaan meloloskan diri di kawasan Sungai Linting, Tanjung Surat, Kota Tinggi. - Foto Ihsan Kastam
A
A

KOTA TINGGI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri ke negara jiran di kawasan Sungai Linting, Tanjung Surat di sini.

Dalam kejadian itu, salah seorang daripada PATI terbabit hampir lemas dalam sungai berkenaan.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 malam pada 6 April lalu ketika Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor melakukan rondaan laut di Kampung Nior, Tanjung Surat.

Semasa rondaan, katanya, pihaknya terserempak dengan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan untuk berhenti.

“Bagaimanapun, arahan tersebut tidak diendahkan, malah mereka terus memecut sebaik menyedari kehadiran bot ronda JKDM. Semasa cubaan melarikan diri, bot yang dipercayai membawa PATI tersebut telah mengalami kemalangan dan terbalik

“Tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dipercayai PATI yang sedang lemas. Pemeriksaan di sekitar kawasan paya bakau berhampiran lokasi bot terbalik tersebut telah dibuat dan seorang lelaki dipercayai PATI telah menyerah diri.

“Seorang lagi lelaki yang dipercayai tekong bagaimanapun berjaya melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bot gentian kaca yang digunakan PATI berkenaan untuk meloloskan diri di kawasan Sungai Linting, Tanjung Surat, Kota Tinggi. -  Foto Ihsan Kastam
Bot gentian kaca yang digunakan PATI berkenaan untuk meloloskan diri di kawasan Sungai Linting, Tanjung Surat, Kota Tinggi. - Foto Ihsan Kastam

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua warganegara asing berusia 29 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tidak mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

Menurutnya, kedua-duanya dipercayai cuba keluar dari negara ini menggunakan lorong-lorong tikus untuk pulang ke negara asal mereka dengan menggunakan jalan laut.

“Sebuah bot gentian kaca serta satu unit enjin yang digunakan untuk mengangkut kesemua PATI tersebut dianggarkan bernilai RM15,000 telah disita.

“Ini adalah kejayaan ketiga pasukan Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor bagi tahun ini yang melibatkan kes penahanan PATI berhubung dengan kesalahan penyeludupan migran,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua PATI itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) iaitu kesalahan berhubung dengan penyeludupan migran.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

"Mereka juga akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal melebihi tempoh waktu yang ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan boleh denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali. Juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak lebih daripada enam kali," kata beliau.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!