X

Kindly register in order to view this article
!

Johor bakal miliki balai cerap termoden di Asia Tenggara

Tosrin melihat anak bulan sempena kedatangan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam di Pontian Kecil, Pontian pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Pusat Astronomi Baitul Hilal iaitu balai cerap termoden di Asia Tenggara akan dibina di Pontian dengan kos RM15 juta.

Exco Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanti berkata, kertas kerja melibatkan jawatankuasa pembinaan itu akan dibentang pada minggu depan.

Menurutnya, rancangan pembinaan tersebut sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Insya-ALLAH awal tahun depan akan bermulanya pembinaan pusat ini. Pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal ini dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun.

"Dalam meninggikan syiar Islam, di negeri ini terdapat balai cerap bagi melihat anak bulan. Namun ada kewajaran Johor mempunyai satu balai cerap yang moden iaitu Pusat Astronomi Baitul Hilal," katanya kepada pemberita selepas Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, Yosree Ikhsan.

Tosrin berkata, pihaknya melawat tapak balai cerap tersebut pada petang Isnin semasa melihat anak bulan Ramadan.

Katanya, pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal itu juga sebagai lambang berkembang syiar Islam di Johor.

"Selain melihat anak bulan sebelum menjelang Ramadan. Pusat ini juga berperanan sebagai bahan rujukan para pelajar bagi mengkaji astronomi serta pusat sains cakerawala.

"Ini juga akan menjadi tarikan destinasi pelancongan baharu di Johor seiring dengan lokasi Tanjung Piai yang dikenali sebagai Penghujung Selatan Benua Asia," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!