Diperdaya beli rumah setinggan yang bakal dirobohkan

Sihrah (duduk) hanya mampu melihat rumah yang dibina tiga bulan lalu akhirnya dirobohkan di Bandar Putra, Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.
Sihrah (duduk) hanya mampu melihat rumah yang dibina tiga bulan lalu akhirnya dirobohkan di Bandar Putra, Manggatal, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Harga murah serendah RM1,300 sehingga RM7,000 yang ditawarkan menyebabkan penduduk terperdaya untuk membeli rumah setinggan di Bandar Putra, Manggatal di sini.

Bagaimanapun, mereka terpaksa gigit jari apabila rumah yang didiami itu akhirnya dirobohkan dalam satu operasi di kawasan terbabit pada Isnin.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi itu, sebanyak 48 rumah dirobohkan kerana dibina secara haram di kawasan tanah milik sebuah syarikat pemaju.

Difahamkan, notis arahan supaya penduduk mengosongkan kawasan itu dan notis perobohan sudah diberikan sejak beberapa bulan lalu, namun penduduk tidak mengendahkannya sehingga mahkamah mengeluarkan arahan untuk perobohan serta-merta.

Penduduk, Norazwan Arman, 26, berkata, dia kecewa apabila mengetahui rumah yang keluarganya diami sejak sebulan lalu terpaksa dirobohkan begitu saja.

Menurutnya, dia membeli rumah itu dengan harga RM5,000 daripada tuan rumah sebelum ini yang diperkenalkan oleh ahli keluarganya.

"Saya diberitahu bahawa memang tanah ini akan diambil semula oleh tuan tanah, namun bukan dalam tempoh terdekat, Sebab itu saya beli sebagai tempat penempatan sementara untuk isteri dan keluarga.

"Saya fikir selepas beberapa tahun akan datang baru tuan tanah akan mengambilnya semula. Ketika itu saya mungkin sudah mampu untuk membeli rumah secara sah," katanya kepada Sinar Harian di lokasi berkenaan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Norazwan bagaimanapun mengaku kesilapannya kerana membeli rumah tanpa dokumen, malah tahu tanah yang diduduki mereka ada milik orang lain.

Seorang lagi penduduk, Sihra Anding, 24, berkata, mereka sendiri yang mendirikan rumah di kawasan itu selepas rumah lama dirobohkan sebelum ini.

"Sebelum ini rumah kami diami selama sembilan bulan sudah dirobohkan oleh tuan tanah. Kami berpindah ke kawasan ini tidak jauh dari lokasi rumah lama serta menetap selama tiga bulan di sini.

"Saya dan keluarga tidak tahu tanah ini juga adalah kawasan milik tanah pemaju yang sama," katanya.

Sihra berkata, dia sedih kerana tidak sempat mengemas dan mengeluarkan barangan rumah sebelum dirobohkan kerana dia dan suaminya keluar bekerja dan tidak mempunyai cuti.

"Hari ini (Isnin) baru saya diberi cuti. Saya tidak sangka tiba-tiba tuan tanah sudah mahu merobohkan rumah ini.

"Kami hanya sempat mengeluarkan barangan rumah saja, manakala peralatan seperti papan dan zink tidak sempat dibuka dan akhirnya ditolak oleh jentolak yang melakukan kerja perobohan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguat Kuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Abdul Mukti Muchlish berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 400 rumah yang dibina di kawasan seluas lebih 40 hektar itu dirobohkan kerana dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik pemaju.

"Perobohan membabitkan rumah yang didirikan tidak berstruktur iaitu dibina sendiri tanpa kebenaran serta aktiviti jual beli rumah sendiri.

"Dalam siasatan ketika perobohan, kita dapati ada yang baru 10 hari, sebulan dan satu tahun membeli rumah di sini.

"Mereka mendakwa pembelian rumah ini dengan harga RM3,000 sehingga RM7,000. Saya boleh katakan mereka ini tertipu dan terpedaya.

"Tetapi sebahagiannya ada yang sudah mengetahui serta mengambil peluang tawaran rumah yang murah dan dapat tinggal secara percuma beberapa bulan atau tahun," katanya.

Terdahulu, operasi diketuai DBKK itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).