'Hubungan Zahid-Anwar sangat istimewa'

Keakraban hubungan Ahmad Zahid dan Anwar didakwa sudah terbina sejak sekian lama.
Keakraban hubungan Ahmad Zahid dan Anwar didakwa sudah terbina sejak sekian lama.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata, audio rakaman suara mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar diketepikan kerana kedua-dua pemimpin itu sememangnya mempunyai hubungan yang sangat 'istimewa'.

Muhammad Zahid yang pernah menjadi pegawai khas kepada Ahmad Zahid dan Anwar menegaskan hubungan kedua-dua pemimpin itu terbina sejak sekian lama dengan keakraban mereka diibaratkan beliau seperti 'kentut dan tahi'.

"Mereka mungkin hendak menipu lebih tiga juta ahli UMNO dan rakyat di luar sana. Tapi saya tahu hubungan mereka sangat istimewa, terbina sejak sekian lama dengan keakraban ibarat kentut dan tahi.

"Tiada mustahil rakaman audio itu bukti jelas (Ahmad) Zahid dijadikan alat dan perkakas bagi menjayakan rancangan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri. Masa hendak jatuh dan malukan Tun Dr Mahathir (Mohamad) dulu pun, Anwar gunakan Zahid sebagai ketua pemuda (UMNO)," dakwanya sewaktu dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Muhammad Zahid - Foto sumber internet
Muhammad Zahid - Foto sumber internet

Menyelusuri lagi sejarah hubungan Ahmad Zahid dan Anwar dengan lebih mendalam, Muhammad Zahid mendedahkan hubungan Ahmad Zahid-Anwar adalah lebih istimewa berbanding hubungan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dengan seorang lagi bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Meskipun Ahmad Zahid pernah bekerja sebagai setiausaha politik Najib, hubungan mereka lebih sekadar hubungan kerja. Tetapi dengan Anwar, Presiden PKR itu adalah tok guru Ahmad Zahid sejak beliau menceburi dunia politik.

"Datuk Seri Najib tidak pernah gunakan Ahmad Zahid untuk malukan Tun M (Dr Mahathir), tetapi Anwar sanggup. Hal ini kerana Ahmad Zahid 'setia' kepada Anwar," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Zahid turut 'memuji' Anwar dan Ahmad Zahid yang berjanji kepada rakyat untuk membuat laporan polis terhadap kes rakaman audio tular dikaitkan terhadap mereka, namun masih gagal melakukannya sehingga kini.

"Kedua-dua pemimpin itu ada lantik ramai pegawai, takkan tiada seorang pun yang boleh tampil buat laporan polis?

"Saya puji kedua-dua tokoh terkait dalam audio tular yang berjanji akan buat laporan polis, tetapi akhirnya berbohong secara terbuka kerana sehingga kini laporan polis masih tidak dibuat.

"Saya pun hendak ucap 'syabas' kepada UMNO kerana dapat Presiden macam ini (Ahmad Zahid), yang depan cakap tidak mahu kerjasama dengan Anwar tetapi di belakang beliau sanggup bersekongkol dengan pemimpin itu," katanya.

Laporan Sinar Harian 8 April.
Laporan Sinar Harian 8 April.

Rabu minggu lalu satu rakaman video dan audio mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial.

Video berdurasi empat minit 17 saat itu menyaksikan individu mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dan Anwar kemudiannya menyangkal dakwaan penglibatan mereka di dalam rakaman suara tersebut dan mengarahkan pegawai masing-masing untuk membuat laporan polis.

Susulan itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyakini rakaman audio tular berkenaan adalah tulen dan menggesa kedua-dua pemimpin melafazkan sumpah laknat.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

Zahid nafi perbualannya bersama Anwar

Kalau audio itu betul apa masalahnya, soal Anwar