SKMM perlu tubuh pasukan khas

Kes jenayah scammer melibatkan rampasan akaun WhatsApp semakin berleluasa dan menimbulkan rasa kurang selamat dalam kalangan pengguna. Gambar kecil; Nadzim (kiri), Mohd Yusof
Kes jenayah scammer melibatkan rampasan akaun WhatsApp semakin berleluasa dan menimbulkan rasa kurang selamat dalam kalangan pengguna. Gambar kecil; Nadzim (kiri), Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menangani kes jenayah scammer melibatkan rampasan akaun WhatsApp pengguna.

Menurut Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, penubuhan pasukan berkenaan membolehkan SKMM bertindak dengan lebih tegas terutama menyekat cubaan menggodam akaun milik pengguna dan mengenal pasti dalangnya.

“Pasukan ini boleh melibatkan syarikat telekomunikasi dan juga pihak polis. Kita tidak mahu bila dah banyak sangat kes, baru SKMM hendak bertindak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Yusof berkata, kewujudan taktik penipuan tersebut dilihat semakin berleluasa dan menimbulkan rasa kurang selamat dalam kalangan pengguna.

“Apa yang dirisaukan ialah ramai pengguna terpedaya dengan panggilan palsu sehingga menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer.

“Sebagai pengguna, mereka perlu lebih peka dan berhati-hati. Jangan terus percaya atau menyerahkan butiran maklumat kepada mereka yang tidak dikenali,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kurangnya keprihatinan masyarakat menjadi punca utama berlakunya jenayah scammer seperti rampasan akaun WhatsApp.

“Pelbagai usaha telah dijalankan termasuklah kempen kesedaran di media sosial, namun disebabkan leka, ramai pengguna terjerat dengan lakonan pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: