Penggodam tipu kenalan, minta wang

 Perbualan antara scammer dengan rakan pemilik akaun WhatsApp yang digodam.
Perbualan antara scammer dengan rakan pemilik akaun WhatsApp yang digodam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 21 juta pengguna WhatsApp di Malaysia berisiko terdedah kepada kerugian besar susulan terbongkarnya taktik jahat scammer merampas akaun media sosial tersebut untuk tujuan jenayah.

Ahad lalu, syarikat telco seperti Celcom telah bertindak memberi amaran kepada para pelanggannya berhubung kes rampasan akaun WhatsApp yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Berdasarkan SMS yang dihantar kepada pelanggan, Celcom berkata, modus operandi scammer terbabit adalah dengan menyamar sebagai rakan, ahli keluarga atau pasukan sokongan WhatsApp untuk meminta enam digit kod pengesahan yang dihantar ke nombor telefon pengguna bagi tujuan mengenakan caj pembelian ke akaun pengguna.

“Scammer juga akan cuba mengakses ke peti simpanan suara pengguna bagi mendapatkan kod berkenaan,” kata kenyataan itu.

Scammer menyamar sebagai rakan mangsa dan berpura-pura mengatakan pihak pengendali WhatsApp telah tersalah hantar kod SMS enam digit berkenaan ke nombor mangsa.
Scammer menyamar sebagai rakan mangsa dan berpura-pura mengatakan pihak pengendali WhatsApp telah tersalah hantar kod SMS enam digit berkenaan ke nombor mangsa.

Salah seorang pengguna yang menjadi mangsa penipuan itu ialah eksekutif swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Suhaida.

Menurut Suhaida, dia menjadi mangsa minggu lalu apabila rakan-rakannya menerima ‘missed call’ daripada akaun WhatsApp yang memaparkan nombor dan gambar dirinya sebelum penggodam tersebut meminta sejumlah wang daripada rakan-rakannya.

“Penggodam itu menyasarkan rakan-rakan yang sering berkomunikasi dengan saya menerusi WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

“Dalam teks WhatsApp itu dia tak sebut nama dan hanya beri mesej umum minta masukkan duit ke dalam bank,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Kata Suhaida, dia bernasib baik kerana penggodam tersebut tidak menghantar pesanan kepada individu yang betul-betul rapat dengan dirinya.

“Jika tidak, mereka mungkin sudah memindahkan wang seperti yang diminta,” ujarnya.

Suhaida telah membuat satu laporan polis di sini pada Ahad berhubung kejadian berkenaan dan merancang untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula selepas ini.

Laporan polis yang dibuat mangsa.
Laporan polis yang dibuat mangsa.

Tinjauan Sinar Harian mendapati taktik licik terbaru dilakukan oleh scammer ini adalah dengan meminta kod pengaktifan SMS enam digit WhatsApp kepada mangsa.

Scammer menyamar sebagai rakan mangsa dan berpura-pura mengatakan pihak pengendali WhatsApp telah tersalah hantar kod SMS enam digit berkenaan ke nombor mangsa.

Jika mangsa terpedaya dan memberikan kod pengaktifan SMS enam digit berkenaan, scammer berkenaan akan menggunakannya untuk merampas akaun WhatsApp mangsa.

Scammer ini pada kebiasaannya akan menggunakan akaun WhatsApp yang dirampas untuk mendapatkan wang daripada kenalan mangsa dengan berpura-pura sedang berada dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan.

Sementara itu, SKMM menasihati orang ramai agar berwaspada dengan taktik penipuan bertujuan mengambil alih akaun WhatsApp tersebut.

Menurut SKMM dalam satu kenyataan, pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya pengguna agar menyerahkan kod pengesahan enam digit yang diterima daripada pihak pengendali WhatsApp.

“Kod pengesahan tersebut amnya diterima oleh pengguna bagi tujuan pengesahan apabila berlaku cubaan pertukaran nombor telefon yang dikaitkan dengan sesuatu akaun WhatsApp.

“Pengguna yang terpedaya menyerahkan kod pengesahan tersebut boleh menyebabkan akaun WhatsApp mereka diambil alih oleh scammer,” katanya.