Program komedi perlu pendekatan baharu

Kumpulan Puteh menampilkan pengisian positif dalam persembahan lawak mereka ketika bergelar juara Maharaja Lawak Mega pada tahun lalu.
Kumpulan Puteh menampilkan pengisian positif dalam persembahan lawak mereka ketika bergelar juara Maharaja Lawak Mega pada tahun lalu.
A
A
A

BERBANDING dekad yang lalu, persembahan komedi dalam dunia hiburan tanah air hari ini semakin berkembang dan diterima ramai.

Malah, penerimaan positif masyarakat dilihat menjadi fenomena baharu yang melanda industri seni tempatan.

Apatah lagi, cara hidup masyarakat hari ini yang terdedah dengan pelbagai tekanan dalam kehidupan seharian.

Justeru, hiburan ringan berbentuk pengisian komedi mudah menarik perhatian untuk melepaskan tekanan yang ada terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia.

Jika dahulu persembahan komedi hanyalah menjadi penyeri atau selingan dalam sesebuah majlis mahupun program di TV, kini ia diangkat sebagai segmen utama dalam setiap program mahupun acara yang dijalankan.

Barisan pelawak kini tidak lagi dianggap sebagai kelompok kedua dalam dunia hiburan tanah air, sebaliknya turut mendapat ruang dan peluang yang sama rata dalam industri.

Kebanyakan stesen TV berlumba-lumba tampil dengan pelbagai program komedi untuk disajikan kepada penonton dalam usaha menarik perhatian masyarakat.

Malah, sebahagian besar program berjaya meraih rating tinggi dan jumlah tontonan luar biasa di stesen masing-masing walaupun ada antaranya tampil dengan konsep yang lebih kurang sama.

Artikel Berkaitan:

Dari satu sudut, memang tidak dapat dinafikan ia perkembangan sihat untuk industri, apatah lagi ia mampu membuka lebih banyak peluang dan mengangkat status pelawak ke satu kedudukan lebih baik daripada sebelumnya.

Namun, apabila berlaku dominasi dan lambakan program komedi, penonton kerap disajikan dengan komedi atau lawak jenaka kosong yang tidak mempunyai mesej dan ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama.

Nilai komedi

Malah, sejak akhir-akhir ini kita dapati banyak pengisian lawak komedi yang tampil dengan elemen lucah, sekali gus memberi pengaruh tidak baik kepada penonton terutama kanak-kanak.

Jika tidak diberikan perhatian sewajarnya, ia pasti akan memberi kesan tidak sihat bukan sahaja kepada penonton, malah kepada industri secara keseluruhannya.

Sesuatu harus dilakukan stesen TV dan pihak berkenaan agar kandungan program komedi yang diterbitkan tidak tersasar atau mampu memberikan impak negatif kepada masyarakat.

Tumpuan juga harus diberikan dengan menampilkan program-program komedi yang mempunyai pengisian positif dan berilmiah agar apa yang disajikan itu mampu memberi manfaat kepada yang menonton.

Ia bukan bermakna mengurangkan nilai-nilai atau elemen komedi sedia ada dalam sesebuah persembahan komedi, namun pemilihan atau pengisian perlu menitikberatkan nilai positif untuk masyarakat.

Terlalu banyak program komedi diterbitkan pelbagai stesen TV tetapi berapa keratkah yang tampil dengan pengisian positif dan berilmiah?

Bukan tidak ada tetapi terlalu sedikit berbanding dominasi program-program komedi yang menampilkan elemen hiburan kosong semata-mata.

Pujian seharusnya diberikan kepada sesetengah stesen TV yang telah memulakan langkah berani dengan memperkenalkan beberapa program komedi berilmiah untuk disajikan kepada umum dan ternyata ia turut mendapat tontonan yang tinggi.

Jadi, sudah tiba masanya mereka tampil dengan konsep baharu dan idea lebih segar dalam keghairahan masyarakat menjunjung elemen komedi sebagai keperluan hiburan mereka.

Tanpa perlu mengetepikan elemen komersial, pendekatan yang bersesuaian boleh digunakan untuk memastikan program-program tersebut dapat diterima ramai.

Ia turut memberi dimensi baharu kepada dunia lawak komedi tanah air yang sebelum ini dilihat dari satu perspektif sahaja.

Bukan mahu mengubah haluan dunia komedi tanah air tetapi sekadar menyeimbangkannya untuk manfaat bersama.

* Wan Rahayu Wan Mohd ialah Ketua Meja Hiburan Sinar Harian