Selesai segera isu pelantikan pegawai kanan polis

Banyak pihak menaruh harapan yang tinggi dan mahu pegawai-pegawai kanan yang bakal dinaikan pangkat terdiri daripada mereka yang benar-benar bersih, jujur dan berintegriti tinggi. (Gambar hiasan)
Banyak pihak menaruh harapan yang tinggi dan mahu pegawai-pegawai kanan yang bakal dinaikan pangkat terdiri daripada mereka yang benar-benar bersih, jujur dan berintegriti tinggi. (Gambar hiasan)
A
A
A

ISU campur tangan dalam pelantikan pegawai kanan pasukan polis menjadi perbualan hangat dan mendapat perhatian banyak pihak.

Perkara itu timbul selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan tentang wujudnya kartel dalam pasukan tersebut yang mempunyai agenda jahat untuk melakukan kerja-kerja kotor.

Atas sebab itulah, banyak pihak menaruh harapan yang tinggi dan mahu pegawai-pegawai kanan yang bakal dinaikan pangkat terdiri daripada mereka yang benar-benar bersih, jujur dan berintegriti tinggi.

Imej pasukan polis yang tercemar disebabkan oleh segelintir pegawai-pegawai kanan yang tidak jujur perlu ditamatkan dengan segera.

Ini kerana masih ramai lagi, pegawai kanan polis yang berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas.

Mereka inilah yang perlu diberikan peluang untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis dapat ditingkatkan semula.

Jarang kita mendengar mengenai campur tangan pihak tertentu dalam pemilihan pegawai kanan polis.

Sudah pasti pihak yang menimbulkan isu berkenaan ada alasan yang tersendiri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kita semua menaruh harapan yang amat tinggi kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya pelantikan pegawai kanan polis dilakukan dengan telus.

Berdasarkan Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan, SPP bertanggungjawab untuk melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis.

SPP dianggotai seramai sembilan orang yang terdiri daripada Hamzah selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap polis dan Hamid sebagai pegawai polis yang memerintah pasukan tersebut.

Sehubungan itu, kita amat berharap agar isu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera, kerana rakyat sedang memerhati.