X

Kindly register in order to view this article
!

PDRM, Interpol kerjasama buru kartel daging import

Huzir Mohamed
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan dua individu berkaitan kartel daging yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak dan Wong Ah Kheong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tindakan PDRM.

"Polis masih mengesan sama ada dua individu terbabit berada di dalam atau luar negara.

"Mereka juga diletakkan sebagai individu yang dikehendaki. Polis bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa seperti Imigresen serta Interpol untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Selain itu katanya, PDRM turut bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti syarikat yang terlibat mengimport daging sama ada berlaku modus operandi seperti yang dibongkarkan baru-baru ini.

Pada Ahad, Huzir mendedahkan dua suspek iaitu Siew Huak dari Ulu Tiram, Johor dan Ah Kheong dari Kuantan, Pahang masih giat diburu susulan tangkapan seramai 36 orang yang ditahan dalam Op Kartel di seluruh negara.

Kata Huzir, operasi khas bermula pada 9 April lalu, polis berjaya menahan semua suspek berusia dari 28 hingga 67 tahun dengan melibatkan 26 lelaki serta 10 perempuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel daging: Pakatan jahat 19 syarikat, pengimport terbongkar

Hasil siasatan juga mendapati syarikat utama yang terlibat merupakan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil.

Mengikut permit pengimport, syarikat itu hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit dikeluarkan

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati syarikat itu hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan bagi tahun 2020.

Syarikat itu didapati mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggannya yang dibuktikan melalui invois yang dirampas.

Menurut Huzir, 19 syarikat tersebut yang merupakan pengedar daging meraih keuntungan tahunan antara RM1 juta dan RM52 juta dengan mendapat bekalan dari Brazil dan turut menerima bekalan daripada syarikat tempatan.

Bekalan yang diterima akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan. Syarikat ini juga didapati telah menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging-daging yang diimport dari Brazil dan yang diterima dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pada 2 Disember, Sinar Harian dalam laporan eksklusif melaporkan sepasukan pihak berkuasa bertindak menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai, Johor dan merampas kira-kira 1,500 tan pelbagai jenis daging sejuk beku antaranya lembu, kerbau, itik, ayam selain organ dalaman seperti paru, perut serta ekor dianggarkan bernilai RM30 juta.

Kegiatan kartel berkenaan terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersama agensi lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!