Hentikan import sisa plastik

Kerajaan terlebih dahulu harus memastikan pengurusan sisa plastik domestik dalam keadaan lestari sebelum menerima sisa beban plastik dari negara lain. - Foto 123RF
Kerajaan terlebih dahulu harus memastikan pengurusan sisa plastik domestik dalam keadaan lestari sebelum menerima sisa beban plastik dari negara lain. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA kini dikaitkan sebagai tempat lambakan pembuangan sisa plastik tercemar dan destinasi utama lambakan pengimportan plastik tercemar dari negara asing sejak China melarang pengimportan sisa plastik pada 2018 yang sebelum ini mengimport 45 peratus plastik skrap dunia.

Menurut Institut Industri Kitar Semula Skrap (ISRI), Malaysia menerima lebih banyak sisa import berbanding negara lain dengan kemasukan 750,000 tan metrik plastik pada 2018 bernilai lebih RM483 juta.

Pada 2020 sahaja, Malaysia mengimport 157,299 tan sampah plastik, meningkat sebanyak 273 peratus.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertanggungjawab terhadap hala tuju serta dasar industri plastik kitar semula, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengawal selia pengeluaran permit import (AP) hanya untuk plastik bersih dan seragam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berperanan sebagai penguat kuasa bagi memastikan pematuhan kepada Konvensyen Basel.

Lambakan sisa plastik pernah dilaporkan di Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Jenjarom di Selangor. Tidak dinafikan pengimportan sisa plastik dari luar negara memberi sumbangan kepada ekonomi negara dengan nilai RM30 billion pada 2020.

Namun, jika kemasukan sisa tersebut secara berleluasa dan tanpa kawalan ketat, ia mengakibatkan kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Justeru, wujud gesaan supaya kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sampah plastik untuk dikitar semula.

Konvensyen Basel membenarkan pergerakan buangan berbahaya merentasi sempadan jika negara pengeksport tidak mempunyai kemudahan merawat dan melupuskan dengan sempurna atau buangan berbahaya diperlukan sebagai bahan mentah untuk pemerolehan kembali atau kitar semula di negara pengimport.

Artikel Berkaitan:

Namun, pindaan kepada klasifikasi sisa plastik yang dicadangkan menerusi konvensyen yang diratifikasi, 187 negara itu memerlukan prior informed consent (PIC) dari negara pengimport sisa plastik terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan sisa merentasi sempadan dilakukan.

Sehingga Jun 2019, 62 syarikat tempatan mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di Malaysia.

Semua syarikat yang diluluskan lesen berkenaan sentiasa dipantau bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan peraturan. Tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik lesen sekiranya mana-mana syarikat pengimport didapati mencabuli syarat kontrak.

Isunya, kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar secara haram ke Malaysia didalangi pihak tertentu masih berlaku. Sisa plastik tercemar terutamanya akan dihantar ke kilang kitar semula yang beroperasi secara haram di seluruh negara.

Terdapat juga kilang kitar semula ‘halal’ memilih kaedah kitar semula berkos rendah iaitu dengan melakukan pembakaran secara terbuka.

Kerajaan terlebih dahulu harus memastikan pengurusan sisa plastik domestik dalam keadaan lestari sebelum menerima sisa beban plastik dari negara lain. Berkaitan sisa plastik import, tindakan tegas harus diambil bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tong sampah dunia.

Sebarang cubaan mengimport sisa plastik ke Malaysia adalah tertakluk kepada Undang-undang mengikut Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Malaysia berjaya menghantar pulang 150 kontena sisa pepejal plastik dengan anggaran 3,737 tan ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga tahun 2019 sehingga Januari 2020. Ia menunjukkan kerajaan memandang serius isu kemasukan sisa plastik haram ke negara ini.

Bagi penguatkuasaan kilang haram kitar semula sisa plastik, sehingga kini, jumlah denda bagi kes mahkamah untuk kesalahan tersebut yang telah selesai mencecah RM1.24 juta terhadap premis kerana didapati gagal mengitar semula atau tidak melupuskan bahan buangan plastik kitar semula dengan cara lestari dan bertanggungjawab.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia