MyKasih Kapital optimum potensi usahawan wanita

Rina ketika hadir menyempurnakan Program Majlis Penyerahan Geran MyKasih Kapital di Hotel Movenpick, Sepang pada Isnin.
Rina ketika hadir menyempurnakan Program Majlis Penyerahan Geran MyKasih Kapital di Hotel Movenpick, Sepang pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Seramai 100 usahawan wanita menerima geran insentif MyKasih Kapital daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi fasa pertama.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia merupakan sebahagian daripada insentif berjumlah RM2 juta yang diperuntukkan kerajaan dengan menyasarkan lebih 4,000 usahawan wanita seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, MyKasih Kapital merupakan program bagi membantu golongan wanita yang terlibat dalam bidang e-dagang, 'drosphip' dan perniagaan lain dengan suntikan modal perniagaan bagi penerima yang berkelayakan.

“Geran ini untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain membantu meningkatkan taraf hidup mereka bagi memulakan perniagaan.

“Insentif ini juga disediakan bagi mengoptimumkan potensi individu berdasarkan bidang kemahiran mereka agar tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya,” katanya ketika Program Majlis Penyerahan Geran MyKasih Kapital di Hotel Movenpick, Sepang di sini pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KPWKM, Mohd Yusri Mohd Yussof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Ema Suhailli dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Harun.

Mengulas lanjut, Rina berkata, kementerian itu amat berusaha memastikan setiap hasil daripada inisiatif yang disumbangkan.

“Bagi memastikan geran tersebut digunakan, kementerian akan melaksanakan kajian penilaian keberhasilan atau penilaian ke atas usahawan terbabit. Kajian ini juga akan menilai kesan sosial yang dapat dihasilkan menerusi pemberian geran ini seperti jumlah pendapatan yang mampu dijana oleh setiap penerima.

Artikel Berkaitan:

“Program pemantauan dan penilaian keberhasilan ini akan dilaksanakan selepas enam bulan daripada tempoh pemberian geran,” ujarnya.

Sehingga kini seramai 12,000 permohonan telah diterima oleh KPWKM untuk ditapis dan disaring bagi meluluskan geran MyKasih Kapital tersebut.

KPWKM akan terus membantu golongan yang memerlukan dan mengambil tindakan proaktif dan agresif untuk membantu penerima daripada belenggu kemiskinan.