MPM wujudkan Gerakan Jihad Rakyat

Dr Zainal Kling. - Foto ROSLI TALIB
Dr Zainal Kling. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) mewujudkan gerakan baharu yang dinamakan 'Gerakan Jihad Rakyat' untuk memerangi rasuah yang dilihat sangat jijik kerana turut mencetuskan 'ekonomi gelap' di negara ini.

Pengerusi Bersama MPM, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, ekonomi gelap itu menjadi satu jenayah besar kerana ia bernilai berbilion ringgit.

"Sebelum ini pelbagai cara telah dilakukan untuk membasmi, menghapus dan melarang orang daripada melakukan kejahatan termasuk rasuah tetapi usaha itu seolah-olah tidak cukup.

"Jadi kita terpaksa menggunakan pendekatan lebih agung iaitu jihad kerana asas utamanya ialah perjuangan. Perjuangan kita untuk hapuskan rasuah dan kejahatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pengumuman Gabungan #RasuahBusters dan Pelancaran 'Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah' di Kompleks Karangkraf di sini pada Isnin.

Menurutnya, susulan misi itu, MPM bekerjasama dengan Pasukan #RasuahBusters yang turut disertai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat.

"Penglibatan kita untuk memastikan negara bersih daripada kekejaman rasuah yang memberi impak sangat buruk termasuk meruntuhkan negara.

"Rasuah juga mewujudkan ekonomi gelap. Kita wajib membasminya. Ekonomi gelap ini membabitkan wang yang disogok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berharap penyertaan banyak pihak dalam Pasukan #RasuahBusters menjadi pentas untuk menggembleng tenaga agensi kerajaan, NGO dan syarikat korporat bertujuan membanteras rasuah hingga ke akar umbi.

ARTIKEL BERKAITAN: #RasuahBusters bergabung dengan lebih 100 'Coalition of the Willing'

ARTIKEL BERKAITAN: Program '100 Juta Langkah Menentang Rasuah' dilancar