X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan bimbang kadar kebolehjangkitan melebihi Rt nasional

Dr Izani Husin
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bimbang susulan negeri itu merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) yang tinggi dengan nilai 1.12 sekali gus melebihi Rt nasional iaitu 1.06.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata selain itu, kadar penggunaan katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) juga telah melebihi 70 peratus selain ada yang telah melebihi 100 peratus.

"Kadar Rt di negeri ini menunjukkan paras membimbangkan kerana kekal di atas 1.00 sejak beberapa minggu yang lepas. Dalam tempoh masa 14 hari ini, kes jangkitan terlalu tinggi iaitu 1,029 kes dan sebanyak 24 kluster yang masih aktif di negeri telah direkodkan.

“Malah, kegusaran kita juga masih tinggi, walaupun kes pada hari ini menunjukkan sedikit penurunan, namun 'pending case' atau keputusan yang masih belum kita terima adalah melebihi angka 2,000 sampel,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata lebih membimbangkan ialah 22 peratus daripada kes positif adalah kes tiada ‘epid link’ iaitu tidak dapat dikaitkan mana-mana kluster dan menunjukkan Covid-19 berada dalam komuniti dan peluang atau ruang untuk berjangkit adalah terlalu tinggi.

Berkenaan kapasiti, beliau berkata, Hospital Tumpat telah melebihi kapasiti iaitu 113.4 peratus, PKRC Dewan Putik Pengkalan Chepa (97.5 peratus), PKRC Jubli Perak (96.7 peratus), Hospital Jeli (95.8 peratus), Hospital Machang (87.5 peratus) dan Asrama HPM (85.7 peratus).

Selain itu, beliau berkata Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) adalah 81.0 peratus, Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II (83.3 peratus) dan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) adalah 100 peratus.

Dr Izani berkata kerajaan negeri turut berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan terus mengekalkan status Kelantan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan bukan PKP.

Semalam, kerajaan Kelantan mengumumkan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri termasuk acara rasmi kerajaan sepanjang bulan Ramadan berikutan peningkatan serius kes Covid-19 di negeri itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!