Hishammuddin minta semua pihak henti lagakan pemimpin dalam UMNO

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KLUANG - Semua pihak diminta untuk berhenti melaga-lagakan pemimpin dan mewujudkan kem tertentu di dalam UMNO, sebaliknya menumpukan usaha menjaga kestabilan parti.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bimbang isu-isu memecah-belahkan UMNO, termasuk rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular, serta gerakan penubuhan UMNO 3.0, bukan sahaja dirasai bahangnya dalam kalangan akar umbi parti itu, malah akan dipandang serong oleh rakyat.

"UMNO 3.0 itu apa? Tidak habis-habis, saya minta semua pihak, cukup-cukuplah. Kita banyak lagi agenda kita. Saya sudah nyatakan apa yang penting adalah kestabilan parti kita sendiri.

“Usaha untuk melaga-lagakan pemimpin, usaha untuk mewujudkan kem-kem tertentu mesti berhenti, kerana apa yang penting sekarang adalah untuk kita kukuhkan parti kita selepas Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Malaysia Prihatin Parlimen Sembrong di Paloh di sini hari ini.

Ditanya adakah isu-isu yang timbul kini akan menjejaskan momentum UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, ia sememangnya akan menjejaskan sekiranya tidak dibendung.

“Benda ini telah pun menular dari awal dulu, saya sendiri secara peribadi menjadi mangsa sudah tiga tahun, tetapi saya masih kekal lagi dalam UMNO. Dituduh macam-macam, saya masih lagi kekal dalam UMNO.

“Mereka boleh tuduh saya mengkhianati parti, saya hendak lompat parti, tetapi sudah tiga tahun saya masih lagi dalam parti, jika kita habiskan masa tiga tahun lalu hanya memikirkan Datuk Hisham (Hishammuddin Tun Hussein) hendak lompat parti atau tidak, itu hanya membazirkan masa dan tidak akan membantu membina UMNO kembali, dalam keadaan yang kita harapkan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu rakaman audio terbabit Hishammuddin berkata, beliau menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, yang penting adalah pendirian parti (UMNO) dan kalau kita berbalik kepada pendirian Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung baru-baru ini, jelas tentang apa sebenarnya UMNO mahukan.

“Sama ada benar atau tidak, palsu atau tidak rakaman, tidak menjadi satu perkara yang membimbangkan saya, kerana semua tahu pendirian parti daripada awal No Anwar, No DAP dan Yes Bersatu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya. - Bernama