Jaguh pecut impi sentuhan semula Poad

Khairul Hafiz mencipta sensasi apabila meraih emas acara 100m pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Gambar kecil: Mohd Poad
Khairul Hafiz mencipta sensasi apabila meraih emas acara 100m pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. Gambar kecil: Mohd Poad
A
A
A

PEMEGANG rekod 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dijangka kembali ‘berguru’ bersama Mohd Poad Md Kassim yang kini di ambang melahirkan seorang lagi pelari terbaik dalam acara riben biru itu.

Turut menyatakan hasrat berlatih semula di bawah Mohd Poad ialah pemegang gelaran Raja Pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi.

Khairul Hafiz, 22, dan Muhammad Haiqal, 21, masing-masing menyifatkan keputusan untuk kembali ke pangkuan jurulatih tempatan berusia 52 tahun itu sebagai langkah terbaik demi kemajuan prestasi dalam tempoh jangka panjang dengan aspek keserasian yang telah terbina menjadi faktor utama.

“Hasrat itu sudah disampaikan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan sekarang kita tunggu keputusan,” kata Khairul Hafiz yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s).

“Saya tak nak ia menjadi isu besar dan menyebabkan pergaduhan sesama jurulatih mahupun antara atlet dan jurulatih. Yang penting keputusan ini untuk menaikkan nama Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini MSN yang berakhir pada Ahad.

Terdahulu, Mohd Poad yang telah membimbing kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA itu sejak di bangku sekolah menengah, turut mengesahkan perkara berkenaan.

Tahun lepas, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan menempatkan Khairul Hafiz dan Muhammad Haiqal bersama semua atlet pecut elit kebangsaan secara berpusat di bawah kendalian pengarah teknikalnya, Dwayne Miller di MSN, Bukit Jalil.

Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu atlet Amerika Syarikat LaShawn Merritt merangkul dua pingat emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan memecahkan rekod Olimpik.

Artikel Berkaitan:

“Saya tak kata Miller tidak bagus, tetapi mungkin dalam 10 orang yang datang (kepada beliau) mungkin satu atau dua tidak boleh terima cara latihannya dan ini tiada kaitan dengan salah faham atau apa-apa isu,” jelas Khairul Hafiz yang diberi julukan ‘The Speedy Jantan’.

Sementara itu, Muhammad Haiqal yang mencatat masa peribadi terbaik 10.35s ketika memenangi emas Sukan SEA 2019 di Filipina berharap dapat menemukan rentak larian terbaiknya bersama Mohd Poad.

“Andai dapat kembali bersama, saya harap dengan keputusan ini beliau (Mohd Poad) boleh melatih saya seperti dahulu dan bantu dapatkan semula kelajuan saya,” katanya.

Magis sentuhan Mohd Poad dalam melahirkan pelari pecut terbaik negara terus terbukti apabila anak didiknya, Muhammad Arsyad Md Saat, 18, yang mewakili Johor memenangi pingat emas 100m pada GP Malaysia dengan kepantasan 10.64s.

Dia menewaskan atlet kebangsaan dari Sarawak, Jonathan Nyepa yang berada di tempat kedua (10.70s) manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak di tempat ketiga dengan catatan 10.85s.

Khairul Hafiz hanya mengambil bahagian dalam acara 400m pada kejohanan tersebut manakala Muhammad Haiqal sedang dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali. - Bernama