Kompaun, patah balik jika tiada surat

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Kompaun dan diarah patah balik akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mempunyai surat kebenaran polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di semua kawasan sempadan negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kawalan ketat perlu dilakukan kerana pihaknya percaya orang ramai cuba mengambil kesempatan pulang ke kampung untuk menyambut Ramadan bersama keluarga.

"Perak berada di tengah antara lima negeri bersempadanan iaitu Selangor, Kelantan, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang.

"Jadi adalah perlu untuk kita ketatkan sekatan dan lakukan pemantauan berterusan di kawasan ini terutama sempadan Selangor yang mempunyai dua jalan masuk utama iaitu di daerah Hilir Perak dan Muallim.

"Jika tiada kebenaran dari balai atau surat rentas negeri, maka kita akan ambil tindakan tegas keluarkan kompaun dan arah berpatah balik ke destinasi asal," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Menurutnya, sebanyak 28 SJR telah didirikan di sempadan negeri membabitkan penugasan 298 anggota polis dan 265 anggota dari jabatan dan agensi kerajaan lain.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di negeri ini bermula 19 Mac sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 70 kompaun telah dikeluarkan dengan kadar pematuhan 96 peratus.

"Sepanjang April ini sahaja, sebanyak 18 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini Perak masih diletakkan di bawah PKPP dan terdapat dua lokasi iaitu Kilang TYT dan asrama pekerja di Lekir serta Penjara Tapah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mior Faridalathrash terdahulu menyaksikan serah terima tugas membabitkan tiga jawatan dalam Kontinjen Perak.

Mior Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Ahmad Adnan (kiri) dengan Mohamad Roy sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah.
Mior Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Ahmad Adnan (kiri) dengan Mohamad Roy sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah.

Ia melibatkan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner GS Suresh Kumar yang bertukar ke Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Aduan) Bahagian Integriti Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Jawatan berkenaan diisi Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin yang sebelum ini merupakan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan, Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Superintendan Zakaria Abd Rahman pula akan bertukar ke Ketua Jabatan Pengurusan IPK Kedah dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Mengambil alih jawatan beliau ialah Superintendan Azizan Hassan yang sebelum ini adalah Pegawai Pemulihan Unit Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri pula bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak dan jawatannya kini disandang Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif sebelum ini Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan.