Tulisan jawi identiti negara, perlu dipertahan

Muhyiddin berucap pada Majlis Pelancaran Buku "Budi Asas Tamadun” dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini. -Foto Bernama
Muhyiddin berucap pada Majlis Pelancaran Buku "Budi Asas Tamadun” dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tulisan jawi adalah sebahagian daripada identiti negara yang bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi diperkasakan kembali sebagai pemangkin kepada perpaduan melalui seni dan warisan.

Sehubungan itu, beliau berkata Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya anjuran Yayasan Budi merupakan suatu langkah yang tepat dan perlu diperluaskan ke seluruh negara.

“Tentunya sebagai sebuah negara bangsa, kita tidak mahu kehilangan identiti dan dalam hal ini, semangat, roh serta perkembangan tulisan jawi ini mesti sentiasa dihidupkan.

"Istilah adat istiadat di situ adalah budaya Melayu. Usaha penganjur pada hari ini merupakan langkah mulia dalam memperjuangkan hak-hak asasi budaya dan warisan Melayu sebagai jati diri dan warisan nasional.

“Saya yakin apabila pameran ini dan usaha-usaha promosi lainnya digembleng kemudian di kawasan-kawasan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak, potensi untuk memupuk skrip jawi ke tahap dan penerimaan semula masyarakat amat diyakini sifat positifnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi Jiwa Bangsa, Seni Tonggak Budaya di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Muhyiddin berkata, ia bertepatan dengan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan Melayu hendaklah beragama Islam, bertutur secara lazim dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

Perdana Menteri turut berharap institusi utama seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kerajaan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) akan bersama mempromosi aspek budaya dan warisan melalui aksara jawi.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin juga menyeru syarikat korporat terutamanya syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri agar memperbanyakkan penggunaan tulisan jawi sama ada dalam segmen papan tanda, acara festival dan sebagainya.

Beliau berpandangan bahawa setiap bangsa tidak harus mengabaikan elemen atau unsur-unsur warisan bangsanya.

Dalam konteks masyarakat majmuk, Muhyiddin berkata, individu yang mempunyai minat dan keinginan untuk melibatkan diri dengan aspek seni, budaya dan warisannya, adalah amat wajar dan adil jika kerajaan memberi galakan setimpal.

Mengenai Buku Budi Asas Tamadun karya bersama Rais dan 13 penulis lain, perdana menteri berkata karya berkenaan amat sesuai untuk digarap dan digilap sebagai pembidang pemikiran.

Muhyiddin berkata, dalam usaha menuju negara maju, budi seharusnya menjadi sebahagian inti jati diri serta batu asas kepada ketamadunan Malaysia yang tidak boleh dibiarkan hanyut lantaran pengaruh budaya luar.

Beliau berkata, rakyat memiliki beberapa lunas tanggungjawab untuk bersama-sama membina masyarakat sopan-santun dan anak-anak bersahsiah.

“Kita juga sedar, seperti yang diutarakan dalam buku ini, budi adalah perisai kemuliaan hidup dan jika ia dijadikan sendi atau amalan masyarakat, saya penuh yakin dan percaya Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara yang punyai tamadun hebat dan akan dihormati oleh semua pihak,” katanya. - Bernama