Wanita maut, suami dan anak cedera

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru wanita maut manakala suami dan anaknya cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki terbabas sebelum melanggar sebuah lori di kilometer 139 Jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah, Rompin dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kemalangan pada pukul 3.15 petang itu menyebabkan Faridah Mohamed, 51, yang duduk di tempat duduk belakang kereta Nissan X-Trail, meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata suami Faridah, Rosli Kadir, 49, yang merupakan pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu, mengalami patah kaki kiri manakala anak mereka Muhammad Fakhri, 19, patah tangan kiri dan cedera di lutut.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Rosli terbabas memasuki laluan bertentangan menyebabkan kenderaan itu bertembung dengan lori lima tan. Impak kemalangan menyebabkan kenderaan yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan, remuk secara keseluruhan di bahagian hadapan," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata pemandu serta kelindan lori tidak mengalami kecederaan, dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan: