100 katil pesakit di Madinah Ramadan: Dr Zaini

Dr Zaini (tiga dari kanan) bersama pegawai yang melawat tapak Madinah Ramadan yang ditukarkan menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Isnin.
Dr Zaini (tiga dari kanan) bersama pegawai yang melawat tapak Madinah Ramadan yang ditukarkan menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan negeri Kelantan menempatkan 100 katil pesakit di khemah Madinah Ramadan yang ditukarkan menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, persediaan PKRC kelima itu wajar berikutan Kelantan menunjukkan trend kadar kebolehjangkitan Covid-19 sangat tinggi dalam tempoh seminggu.

Katanya, sebelum ini empat PKRC disediakan di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu; Dewan Sivik di Gua Musang serta Hospital Kuala Krai (Lama) di Kuala Krai.

“Kes dikesan meningkat selepas cuti persekolahan dan kenduri dengan Covid-19 berada dalam komuniti menyebabkan kemungkinan untuk berjangkit adalah terlalu tinggi.

“PKRC kelima ini diperlukan untuk menampung jumlah pesakit selepas empat PKRC sedia ada mencapai jumlah optimum,” katanya kepada pemberita ketika ditemui melawat tapak Madinah Ramadan, di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kelantan mohon maaf batal bazar Ramadan

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kerajaan membuat keputusan membatalkan acara tahunan di Kelantan, Madinah Ramadan dan bazar Ramadan serta Aidilfitri dua hari sebelum berpuasa sebagai ikhtiar membendung penularan Covid-19.

Ruang solat tarawih di Madinah Ramadan pula ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC).

Dr Zaini berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada warga emas akan bermula dalam tempoh terdekat selepas PICK kepada 23,000 petugas barisan hadapan selesai 100 peratus.

“Bagaimanapun jumlah rakyat Kelantan yang mendaftar PICK masih rendah dengan 21 peratus atau 268,000 daripada keseluruhan 1.2 juta yang layak.

“Saya meminta orang ramai mendaftarkan diri melalui Aplikasi MySejahtera atau di klinik kesihatan berdekatan dan kaunter pendaftaran di lokasi tumpuan awam.

Katanya, Program Outreach Imunisasi Covid-19 menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) juga berjalan.