Hasil tidak teroka cecah RM100 bilion

Fauzi
Fauzi
A
A
A

KUANTAN- Pahang mempunyai kekayaan dianggarkan mencecah RM100 bilion meliputi nilai bagi harta perkayuan dan perlombongan di dalam kawasan hutan simpan dan taman negara yang diwartakan untuk program kepentingan nasional di negeri ini.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, Pahang sebagai sebuah negeri yang telah melaksanakan program-program berkepentingan nasional sejak dahulu dengan pewartaan hutan simpan untuk taman negara dan kawasan tadahan air.

Menurutnya, berdasarkan kajian, mengambil kira kepada keluasan hutan yang diperuntukkan demi kepentingan negara ini, hasil buminya mencecah lebih RM100 bilion.

“Tetapi demi kepentingan untuk negara, hasil tersebut tidak dapat dikeluarkan sebagai hasil kerajaan negeri.

“Dalam aspek kepentingan nasional ini, Kerajaan Persekutuan tidak memberi peruntukkan untuk kerajaan negeri jadi untuk lebih adil, perkara ini perlu dinilai dan diteliti semula,” katanya.

Fauzi berkata, berdasarkan kepada anggaran kekayaan itu, sekiranya Kerajaan Persekutuan bayar 0.1 peratus daripada jumlah itu, kerajaan negeri mendapat hasil dianggarkan RM100 juta setahun.

“Namun kita semua tahu, hutan simpan untuk taman negara dan kawasan tadahan air ini cukup penting bukan sahaja kepada negeri malah untuk negara secara keseluruhannya.

“Kenapa kita perlukan hutan simpan dan taman negara itu?. Sudah tentu ia melibatkan kepentingan dalam aspek perlindungan habitat haiwan liar, kepentingan cuaca, tadahan air dan sebagainya

Artikel Berkaitan:

“Jadi kerajaan negeri memperuntukkan kawasan hutannya yang sangat luas untuk kepentingan nasional tanpa mengambil kira nilai kekayaan di sebaliknya,” katanya.

Justeru katanya, isu hutang kerajaan negeri mencecah RM3.2 bilion yang disentuh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini perlu diperjelaskan.

‘Kita menghormati beliau (Guan Eng) sebagai Menteri Kewangan dan menghormati pandangannya namun perkara ini perlu dijelaskan berdasarkan kepada perkembangan yang saya sebutkan ini," katanya.

Fauzi berkata, dalam aspek hutang pembekalan air misalnya, kerajaan negeri memperuntukkan subsidi untuk bekalan air luar bandar dan tidak dituntut daripada Kerajaan Persekutuan.

“Malah tarif air untuk luar bandar di Pahang paling rendah..kerajaan negeri boleh naikkan tarif air itu sebagai hasil kepada kewangan negeri.

‘Walaupun ketika itu saya pembangkang, saya tidak bantah keputusan untuk kekalkan tarif tersebut kerana sekiranya kerajaan negeri ambil keputusan naikkan tarif air untuk luar bandar, siapa kena bayar?. Orang kampung. Saya setuju kerana ia satu dasar yang baik untuk rakyat biarpun membebankan kerajaan negeri,” katanya.

Justeru katanya, Pahang sebuah negeri yang kaya sekiranya segala sumber kekayaan yang ada dapat diteroka dan diuruskan dengan baik.

“Pahang boleh jadi kaya seperti Selangor kerana kepelbagaian sumber mineral dan galian di bawah perut buminya.

“Malangnya, sebelum ini mungkin cara tanganinya kurang bijak menyebabkan kerajaan negeri tidak mendapat hasil seperti yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, Pahang mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan projek-projek pertanian komersial, produk pelancongan yang pelbagai dengan bukit, hutan, laut, pulau dan tasik.

“Semua ini perlu dieksploitasi dengan betul sebagai produk pelancongan yang boleh memberi pulangan kepada hasil kerajaan negeri.

“Selain itu, kita kena rancakan industri melalui pelaburan asing seperti di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang boleh menjanjikan perkembangan ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.