1,317 kes baharu positif Covid-19, Sarawak catat kes tertinggi

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Angka positif Covid-19 terus merekodkan peningkatan apabila 1,317 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes direkodkan seluruh negara sebanyak 362,173.

"Daripada jumlah kes baharu dilaporkan, terdapat 12 kes import dan 1,305 kes penularan dalam negara membabitkan 1,107 kes rakyat tempatan dan 198 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, terdapat 15,835 kes aktif dilaporkan di seluruh negara dan seramai 188 pesakit dirawat di unit rawatan rapi termasuk 84 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, terdapat empat kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 1,333 kes.

"Tiga kes kematian dilaporkan di Selangor dan satu di Sabah melibatkan kesemuanya warga tempatan berumur 45 hingga 74 tahun," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut melaporkan 1,052 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 345,005 kes bersamaan 95.3 peratus.

Mengulas lanjut mengenai penularan dalam negara, beliau berkata, Sarawak melaporkan kes tertinggi iaitu 351.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, sebanyak 256 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang

aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Menurutnya, ia diikuti Selangor (303), Kuala Lumpur (116), Pulau Pinang (112) dan Sabah (109).

Tambahnya, Negeri Sembilan merekodkan 63 kes, Johor (61), Kelantan (58), Kedah (47), Pahang (32), Terengganu (22), Perak (21) dan Melaka (11).

"Putrajaya (sembilan), Perlis (dua) dan tiada pertambahan kes dilaporkan di Labuan," katanya.

Menurutnya, terdapat 10 kluster baharu dikenalpasti melibatkan tujuh Kluster Tempat Kerja dan tiga Kluster Komuniti.

Kluster Tempat Kerja ialah Leepang (Pahang), Indera Mahkota Tiga (Pahang), Industri Balakong Lapang (Selangor), Jalan Perjiranan Empat (Johor), Jalan Stadium Empat (Kelantan), Ara Murni (Terengganu) dan Persiaran Salahuddin (Putrajaya).

Kluster komuniti pula ialah Kabu (Kedah), Kampung Paya Pulau (Pahang) dan Jalan Canning Estate (Perak).